Bersegera membayar hutang puasa


BAGAIMANA puasa Ramadan kita kali ini. Genapkah sebulan yang ditetapkan atau kurang dan berhutang serta banyak kekurangannya? Puasa Ramadan adalah salah satu rukun Islam yang difardukan ke atas setiap muslim dan bulan yang penuh keberkatan dengan bermacam Rahmat dan Rahim Allah s.w.t. baru sahaja melabuhkan tirainya.

Kefarduan puasa Ramadan dan menggantikan puasa yang ditinggalkan ke atas setiap Muslim dijelaskan dalam firman Allah s.w.t.:

Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa, (iaitu) beberapa hari tertentu. Maka barang siapa di antara kamu sakit atau dalam perjalanan (lalu tidak berpuasa), maka (wajib mengganti) sebanyak hari (yang dia tidak berpuasa itu) pada hari-hari yang lain. Dan bagi orang yang berat menjalankannya (orang yang sakit berat, yang tersangat tua, hamil atau menyusui), wajib membayar fidyah, iaitu memberi makan seorang miskin. Tetapi barang siapa dengan kerelaan hati mengerjakan kebajikan (memberi makan kepada lebih seorang dari orang miskin untuk satu hari), maka itu lebih baik baginya, dan puasamu itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui. (al-Baqarah: 183-184).


Tanggal satu Syawal untuk dirayakan sebagai kemenangan dalam jihad menentang hawa nafsu sepanjang sebulan Ramadan telah kita sambut dan raikannya.

Tetapi bagaimana dengan hutang puasa? Rasanya jarang kalangan kita yang tidak terhutang puasa, terutama kaum hawa. Ini bermakna kita telah berhutang dengan Allah s.w.t. Setiap hutang wajib dijelaskan, jika tidak ia akan diperhitung dan diberi pembalasan azab di akhirat kelak.

Harus diingat hutang bukan sekadar wang ringgit dan harta benda tetapi juga terhadap amal ibadah rukun lain termasuk puasa Ramadan.

Dalam Islam, setiap pemiutang wajib melunaskan hutang-hutang semasa hayatnya. Jika tidak ia akan dipusaka oleh ahli warisnya apabila ia mati.

Setiap mukmin sepatutnya mesti takut dan menghindari dari kedua-dua bentuk hutang ini, lebih-lebih lagi dalam amal ibadah yang telah difardukan.

Hutang juga bukan hanya setakat melibatkan hak sesama manusia malah lebih utama hak terhadap Allah s.w.t. Hutang sesama manusia mungkin boleh terlepas dan dilepaskan serta ditanggung oleh ahli waris secara jelas selepas hayatnya berakhir.

Tetapi tidak dengan puasa dan amalan fardu lain kerana ia melibatkan terus akan hak Allah s.w.t dan hanya individu terlibat yang tahu jumlah hutangnya yang sebenar. Setiap puasa yang ditinggalkan wajib diqada mengikut apa yang ditetapkan al-Quran dan al-sunah.

Begitu juga perkara fardu paling asas Islam yang lain iaitu solat, zakat dan haji. Ia adalah hutang yang perlu ditanggung di hari akhirat oleh setiap yang mengaku Islam jika ia gagal melaksanakannya setelah cukup syarat-syarat sah ke atasnya.

Setiap perkara yang wajib pula mestilah diutama atau didahulukan. Melunaskan hutang puasa jangan dilengah-lengahkan sehingga menjelang Ramadan akan datang, sebab ajal itu datangnya bila-bila masa tanpa boleh ditangguhkan walau sesaat sekalipun.

Jadi rebutlah kelebihan bulan Syawal ini bagi melunaskan hutang puasa kita terhadap Allah s.w.t. di samping menambah baik lagi iman dan ketakwaan melalui amalan-amalan sunat lain terutama puasa enam hari di bulan Syawal.

Sebab janji Allah s.w.t. itu pasti dan puasa itu adalah hak-Nya. Cuma kita yang lalai dan alpa kerana terlalu asyik dengan kenikmatan dunia yang fana ini.

Tetapi, jika hutang Ramadan diselesaikan seawal mungkin dan puasa sunat enam Syawal dirasai belum mencukupi bagi meningkatkan keimanan dan ibadah kepada Allah s.w.t., maka susulilah dengan puasa-puasa sunat pada hari-hari terpilih di bulan Zulkaedah dan Zulhijjah, mahupun bulan Muharam, Rejab dan Syaaban.

Malah Rasulullah s.a.w. bersabda:

Barang siapa yang berpuasa pada bulan Ramadan lalu diiringinya dengan enam hari bulan Syawal, maka seolah-olah ia telah berpuasa sepanjang masa. (Riwayat jemaah ahli hadis kecuali Bukhari dan Nasa’i).

Tetapi puasa terbaik ialah sebagaimana sabda Baginda;

“Yang lebih utama puasa ialah puasa saudaraku Daud a.s. Adalah ia berpuasa sehari dan berbuka sehari.” (Riwayat al-Tirmidzi).

Namun apalah ertinya amalan sunat termasuk solat tarawih dan solat Eidul Fitri yang digahkan jika perkara wajib seperti hutang puasa Ramadan dan ibadah fardu lain ditangguh serta diabaikan.

Jangan jadi seperti kata pepatah `yang dikejar tak dapat yang dikendung keciciran’. Tiada guna menguar-uarkan amalan sunat jika yang fardu dan wajib diabaikan.

Biarlah Ramadan benar-benar memberi kesan dan mendidik iman untuk sentiasa patuh dan taat melakukan semua perkara yang difardukan serta menjauhi apa juga larangan dan tegahan-Nya di samping menambahkan amalan sunat.

Semoga hidup kita lebih diberkati dan dirahmati Allah s.w.t. Amin.



Comments