Saturday, July 30, 2011

Disiplin Ramadan wajar dipertahan


Perspektif Ikim:
Oleh Mohd Noor Omar

Puasa sebagai ibadat tak boleh dipestakan berdasarkan medan pemulihan bermusim

DILEMA prestasi dan pengeluaran yang dihadapi kebanyakan organisasi sepanjang Ramadan tidak dapat dinafikan berlaku. Bermula daripada waktu kerja dipendekkan, mutu kerja kurang memberangsangkan sehinggalah kepada banyak kegiatan pengeluaran biasa ditangguhkan.

Kemungkinan keseluruhan gambaran ini memberi petunjuk bagaimana penyelarasan pembangunan jasmani dan rohani berlaku. Namun dalam kepayahan menerima hakikat bulan latihan ini daripada sudut zahir dan batinnya, akhirnya Syawal menjelma membawa fitrah kepada manusia dan kemanusiaan. Sysawal sebenarnya menguji sejauh mana keberkesanan latihan Ramadan yang dilalui seorang Muslim.

Apabila dikatakan manusia kembali kepada fitrah, maka seluruhnya kehidupan dan sudut pandangannya wajar berada seperti dalam satu garisan lurus dengan hakikat fitrah sebagaimana yang dapat difahami melalui mafhum ayat Allah.

Usaha pemulihan insani sepanjang Ramadan kini berakhir membawa tahap baru pada asal kejadian insan. Inti pati penting yang diberi penekanan ialah bagaimana kita boleh mempertahankan tahap pembangunan rohani ini hingga Ramadan akan datang. Bagaimana meletakkan pertimbangan insan supaya sentiasa fitrahnya bersedia mengabdikan diri kepada Ilahi.


Islam agama menyeluruh dan lengkap. Aturan nilainya tidak bergantung kepada sesuatu tindakan secara khusus tetapi tertakluk kepada amalan manusia dalam kehidupan dikaitkan dengan Allah. Bertindak mengikut Islam ialah bertindak dalam jalinan rangkaian nilai zahiriah dan batiniah dengan perkaitan akidah, muamalah dan akhlak secara serentak.

Jika satu masyarakat mengamalkan muamalah tetapi tidak mengambil erti aqidah dan akhlaknya, dalam keadaan tidak kenal dan beriman dengan penciptanya, maka mereka belum boleh digolongkan dalam masyarakat yang menjadikan pandangan Islam sebagai panduan hidup sebenar. Keimanan menuntut lebih banyak kepada membenarkan dalam hati berbanding pengucapan lisan.

Keghairahan pasaran dan cenderung kebendaan dewasa ini, sudah mengabaikan dan mengaibkan rangkaian ini dengan menjejaskan ketiga-tiga ciri penting. Sandaran utama amalan ialah kepada kebendaan dan mengasingkan perkaitan dengan Allah.

Akibatnya, timbullah masalah lain sama ada berbentuk muamalah atau akhlak walaupun zahir kononnya mencerminkan agama Islam sehinggakan ada yang mengaitkan Islam daripada sudut pandangan yang salah.

Berdasarkan kepada suasana inilah, ummah perlu memahami dan kembali kepada kerangka sebenar pandangan alam Islam bagi mengelak tersasar jauh. Nilai zahir itu adalah bentuk sedangkan kerangka pandangan alam Islam adalah gabungan kedua-duanya secara seiring.

Nilai agama serta pandangan alam Islam semakin terhakis akibat kewahaman umatnya. Nilai yang menjadi harga kepada kemasyarakatan kian terhakis. Manusia di alam syahadah yang tergantung kepada dua nilai iaitu nilai zahiriah dan batiniah semakin hari kian tempang.

Ketidakseimbangan yang berlaku ditokok oleh pandangan batiniah yang makin membuta, maka nilai kerohanian makin dikesampingkan. Umat Islam hanya menjadi buih yang banyak dan tidak memberi makna apa-apa kepada pantai nan luas jika terus dibadai mengikut corak keadaan semasa.

Ramadan yang dianggap sebagai sekolah kepada kemanusiaan tidak boleh hanya dipestakan berdasarkan musim. Kesempatan berada dalam Ramadan disia-siakan begitu saja. Ramadan yang menjadi medan pemulihan tidak dijadikan titik tolak ke arah kebangkitan dan kejayaan ummah.

Penekanan diberikan dalam pembangunan modal insan negara lebih kepada muamalah berbanding unsur akidah. Nisbah akhlak hanya pada muamalah, bukannya pada akidah. Kerana itu, soal akidah makin dianggap mempunyai ‘sensitiviti’ bangsa.

Suasana ini boleh menjejaskan muamalah dan akhlak walaupun berjaya dibentuk kelak. Jika diperhalusi, unsur akidah adalah asas kepada perkembangan muamalah dan akhlak. Kesilapan sebegini sering wujud dalam masyarakat yang diganjakkan oleh perubahan kebendaan kepada kerohanian.

Walaupun langkah penerapan unsur kerohanian di Malaysia berlaku, ummah perlu cepat sedar mengenai pengabaian yang kelak akan memberi kesan sampingan iaitu lahirnya kelompok masyarakat yang memegang bentuk pelbagai dan bercanggahan sesama mereka.

Tambahan pula, tanpa kesedaran daripada akidah yang benar akan menyukarkan perkembangan muamalah dan akhlak.

Masalah lain yang melanda ummah sekarang ialah melihat yang benar sebagai palsu dan melihat yang palsu itu sebagai benar. Kebimbangan ini pernah dibandingkan di dalam buku Islam dan Sekularisme oleh Prof S M Naquib al-Attas iaitu kekeliruan dalam faham keilmuan.

Jelas sekali, kebendaan yang menyerang bukan saja memalsukan yang benar malah menjadikan aturan keutamaan hidup berada di dalam ketidaktentuan. Masyarakat lebih rela bermusuhan kerana menegakkan bentuk masing-masing tanpa mempedulikan kerangka sebenar agama dan pandangan alam Islam.

Mungkin ramai menganggap Ramadan bermusim. Sebenarnya pandangan itu salah sama sekali. Musim maknanya akan berlaku pengulangan. Berbeza dengan Ramadan yang kita lalui, ia tidak akan berulang lagi.

Cendekiawan Islam dalam menggambarkan kefahaman berkenaan masa, menganggap bahawa manusia seolah-olah berada di dalam gerabak kereta api, manakala apa yang dilalui dalam kehidupan kita adalah perhentian demi perhentian yang kita tinggalkan. Kita tidak akan dapat lagi melalui perhentian Ramadan yang sudah ditinggalkan. Apa yang boleh dibawa adalah bekal nilai dan harganya bersama.

Saranan utama Islam supaya menjaga silaturahim kian terpinggir kerana masing-masing mengakui mereka lebih Islam daripada orang lain. Apa yang menjadi keutamaan, yang nampak pada mata serta apa yang ingin ditunjukkan, bukan lagi dasar nilai yang dijadikan pegangan.

Syawal, sama seperti Ramadan juga dipestakan oleh umat Islam. Bulan raya ini akan dijadikan bulan perayaan dengan rumah terbuka atau jamuan hari raya di pejabat.

Aturan nilai yang tidak didokongi dengan rangkaian akidah, muamalah dan akhlak sebenar agama Islam akan menggugat ‘silaturahim’ yang terjalin sebelum ini jika masyarakat tidak faham kehendak kerangka pandangan alam dan agama Islam.

Bukan saja pengurusan, malah semua ciri dalam kehidupan bergantung kepada nilai. Dalam masyarakat Jepun, ketekunan dijadikan nilai utama. Begitu juga pada sesetengah tempat meletakkan kesetiaan sebagai nilai penting hingga membawa kepada ketaksuban. Nilai inilah yang dapat kita cerap daripada gambaran keseluruhan amalan sesebuah masyarakat.

Selepas pembersihan dilakukan pada Ramadan, janganlah pula Syawal dicemari dengan kegiatan bercanggah sama sekali. Kita tidak boleh hanyut dibawa arus yang kemudiannya akan memberi kesan buruk kepada ummah.

Masyarakat mula meminggirkan penerokaan akidah kerana nilai dagangnya yang tidak seiring kemahuan kebendaan berbanding muamalah. Perkembangan dan penekanan mengenai akidah adalah tugas khusus orang Islam menjelaskan kepada mereka yang ‘serasi’ akibat dorongan pasaran dengan muamalah halal Islami.

Dengan kata lain, penerapan dan menjelaskan hakikat akidah adalah agenda utama yang perlu seiring dan sehebat peruntukan diterapkan dalam muamalah. Bertepatan dengan martabat kita sebagai ummah yang terpilih menyeru ke arah kebaikan dan mencegah kepada kemungkaran.

Perkara ini perlulah sejajar dengan perhatian diberikan kepada perkembangan aturan kewangan Islam dan perluasan pasaran barangan halal.

Kesimpulannya, jangan ringankan kepentingan akidah dan akhlak dalam muamalah sedia ada kerana di situlah terbentuk kerangka Islam. Fitrah sebenarnya adalah mempertahankan keseimbangan jasmani dan rohani sepanjang masa dalam perjalanan kehidupan.

INTI PATI: Kepentingan Ramadan

Ramadan adalah sebagai sekolah kepada kemanusiaan tidak boleh hanya dipestakan berdasarkan musim.
Berbeza dengan Ramadan yang kita lalui, ia tidak akan berulang lagi.
Kita tidak akan dapat lagi melalui perhentian Ramadan yang sudah ditinggalkan. Apa yang boleh dibawa adalah bekal nilai dan harganya bersama.
Syawal sebenarnya menguji sejauh mana keberkesanan latihan Ramadan yang dilalui seorang Muslim.
- Penulis ialah Felo Pusat Perundingan dan Latihan Institut Kefahaman Islam Malaysia.




0 Responses to “Disiplin Ramadan wajar dipertahan”




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
p/s: Jika ada diantara blogger yang ingin bertukar pautan link dengan detikislam.blogspot.com, boleh lah pm di facebook admin.

Juga kepada blogger-blogger yang telah membuat pautan link detikislam di blog masing-masing tetapi admin masih tidak meletakkan pautan link blog saudara saudari, minta pm juga di facebook admin. Sekian, Terima Kasih

Blog's stats Jumaat 30.12.2011 bersamaan 4 Safar 1433

Back To Top
Profile Picture
©1433 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami. Anda digalakkan untuk memaparkan sumber asal bahan tersebut.
E-mel :@gmail.comatau Facebook :www.facebook.com/blogdetikislam