Ibnu Bathutah bercerita tentang Syiah - Bahagian 2 (Akhir)

naskah-kuno-ibnu-battutah
Dalam Rihlah-nya, (Tuhfah an-Nuzhar fi Gharaibil Amshar wa Ajaibil Asfar, Rihlah Ibnu Bathuthah, Pustaka Al-Kautsar, Cet I, Mac 2012, hal 220-223). Ibnu Bathuthah bercerita:

".... Pada suatu ketika, Raja Iraq yang bernama Sultan Muhammad Khadabandah berjalan ditemani oleh seorang faqih yang bernama Jamaludin bin Muthahhar. Kala itu, raja masih belum memeluk Islam. Setelah dia masuk Islam, maka seluruh bangsa Tartar yang berada dalam kekuasaannya juga masuk Islam. Setelah itu, mereka semua bertambah rasa hormat kepada Faqih Jamaludin. Raja menganut mazhab Rafidhah. Faqih mengajarkan mazhab ini kepada raja dan mengistimewakannya di atas mazhab lain. Dia menjelaskan sejarah para sahabat Nabi dan para khalifah. Dia menjelaskan bahawa Abu Bakar dan Umar adalah menteri Rasulullah shallallahu alaihi wa sallam. Ali adalah putera bapa saudara sekaligus menantu beliau. Faqih itu menjelaskan tema-tema seperti itu. Dia tahu, raja di hadapannya adalah pewaris kerajaan sang datuk dan kerabatnya. Dia tahu, raja baru saja memeluk Islam dan belum tahu banyak tentang sendi-sendi agama.

Raja menyeru agar rakyatnya mengikuti mazhab Rafidhah. Untuk itu, dia menghantar utusan kepada rakyat Iraq, Parsi, Azerbaijan, Isfahan, Kirman, dan Khurasan. Dia juga menghantar utusan ke pelbagai negeri. Dan negeri pertama yang disinggahi utusan raja adalah Baghdad, Syiraz, dan Isfahan. Penduduk Baghdad menolak kedatangan penduduk Bab Al-Azj. Penduduk Baghdad menganut mazhab Ahlussunnah, majoriti adalah pengikut Imam Ahmad bin Hanbal. "Kami tidak mahu melaksanakan perintah raja." Pada hari Jumaat, mereka datang ke masjid dengan membawa senjata, sementara di sana telah datang utusan raja. Saat khatib naik ke atas mimbar, 12,000 orang bersenjata mengelilingi khatib. Mereka adalah penjaga kota Baghdad. Mereka bersumpah akan membunuh khatib dan utusan raja, jika khutbah disampaikan dengan cara yang berbeza dari biasanya, dengan menambah atau mengurangkan. Setelah itu, mereka akan menyerahkan diri.

Raja memerintahkan agar nama Abu Bakar, Umar, Uthman dan para sahabat yang lain tidak disebut dalam khutbah-khutbah. Yang boleh disebutkan hanyalah nama Ali dan para sahabat pendukungnya seperti Ammar bin Yasir. Kerana takut dengan ancaman penduduk Baghdad, khatib menyampaikan khutbah dengan cara yang biasa dilakukan di masjid itu. Penduduk Syiraz dan Isfahan meniru apa yang dilakukan penduduk Baghdad.

Para utusan raja melaporkan kenyataan ini kepada raja. Mendengar laporan itu, raja memerintahkan agar para qadhi di tiga bandar itu dibawa menghadap. Syaikh Majdudin adalah qadhi yang pertama menghadap raja. Ketika itu, raja sedang duduk di sebuah tempat bernama Qarabagh, sebuah tempat bercuti raja di musim panas. Saat Syaikh datang, para pengawal raja melepaskan anjing-anjing besar berkalung rantai besi. Anjing-anjing itu bersedia untuk menerkam manusia yang sengaja dijadikan mangsa. Jika mangsa datang, anjing-anjing itu dilepaskan, dan orang itu melarikan diri ke sana ke mari. Setelah berjaya menangkap mangsanya, anjing-anjing itu mencabik-cabik badannya dan melahapnya dengan rakus.

Anjing-anjing itu dilepaskan di hadapan Syaikh Majdudin. Mereka mengerlingkan mata dan menampakkan taring-taringnya di hadapan Syaikh. Namun, anjing-anjing itu tidak menyerang Syaikh. Peristiwa ini didengar oleh raja. Dia keluar istana, berjalan tanpa alas kaki. Dia bersimpuh di hadapan Syaikh dan mencium kedua-dua kakinya. Dia mencium tangan Syeikh, lalu melepaskan pakaian kebesarannya. Menurut tradisi, apa yang dia lakukan itu menjadi bukti akan kemuliaan orang yang berada di hadapannya. Jika raja melepaskan pakaian kebesaran di hadapan seseorang, maka itu bererti bahawa raja memuliakan orang itu, termasuk anak-cucu dan seluruh keturunannya. Penghormatan itu terus dilakukan selama pakaian kebesaran raja, atau bahagian tertentu dari pakaian itu, masih ada. Bahagian yang paling istimewa dari pakaian kebesaran raja adalah seluar.

Raja memimpin tangan Syaikh Majdudin, menghantarnya masuk ke dalam istana. Dia memerintah seluruh isterinya untuk memberikan hormat kepada Syaikh dan bertabarruk dengannya. Raja kemudian meninggalkan mazhab Rafidhah. Dia menulis kepada rakyat untuk menganut mazhab Ahlussunnah wal Jamaah.

Raja memberikan hadiah yang banyak kepada Syaikh Majdudin, menghantarnya kembali ke Syiraz dengan penuh penghormatan.
Diterjemahkan dari sumber islampos

Comments