Tuesday, May 7, 2013

Lima perkara yang perlu orang Islam lindungi

Islam agama keamanan. Menurut Dr Mahmood Mustafa Ayoub dalam buku karangannya, Islam Kepecayaan dan Amalan menjelaskan: Islam adalah kalimah terbitan dari perkataan salama yang bermaksud ‘mempersetujui  dan memperakui sesuatu atau memiliki keamanan’. Kata kerjanya pula ialah aslama yang bermaksud menyerahkan segala urusan hidup kepada kehendak Allah. Muslim  adalah mereka yang melakukan penyerahan ini. Agama Islam mempunyai prinsip undang-undang yang bertujuan memberi keamanan kepada manusia. Ini dapat di lihat dari perlaksaan syariahnya di dalam kehidupan manusia. 

Al-Quran menjelaskan matlamat ini di dalam surah anbiya’ ayat 107 yang bermaksud:

“Dan tidaklah Kami mengutuskan kamu(Muhammad) melainkan sebagai rahmat kepada seluruh alam.”

Inilah tujuan sebenar perutusan Rasulullah s.a.w  yang memperkenalkan sistem syariah Islam kepada manusia. Syariah ini mempunyai konsep keadilan dan keamanan. Dr Mohammad Hashim Kamali di dalam bukunya, Prinsip-Prinsip Dalam Undang-Undang Islam menyatakan bahawa kalimah rahmah ini membawa pengertian jelas tentang apa yang ingin di sampaikan oleh al-Quran dan Sunnah ialah menghilangkan kemudaratan yang wujud dalam kehidupan manusia, mengelakkan dari terjadinya sebarang kerosakan dan membina keadilan seterusnya membina keamanan sejagat. 

Dengan penjelasan ini, maka rahmat yang di bawa oleh nabi Muhammad s.a.w adalah jelas dinyatakan dalam perlaksanaan maslahah dalam kehidupan manusia. Maslahah ini juga perlu dijaga dan dipertahankan dari sebarang unsur yang boleh membawa kepada kemusnahannya. 

Oleh itu, ulama’ berpendapat bahawa rahmat merupakan asas perlaksanaan syariah.

Ulama’ Usulul Fiqh menjelaskan bahawa terdapat 3 pembahagiaan maslahah.Maslahah tersebut ialah Dhoruriyyat, Hajiyyaat dan Tahsiniyyat. Dr Abdul Karim Zaidan di dalam bukunya Al-Wajir Fi Usulul Fiqh menjelaskan bahawa dhoruriyyat adalah perkara yang sangat diperlukan oleh manusia bagi menjamin kehidupan yang sempurna. Dhoruriyyat juga diperlukan bagi memastikan kehidupan mereka tidak membawa kepada sebarang bentuk kesengsaraan. Terdapat 5 perkara yang sangat diperlukan itu adalah agama, jiwa, keturunan, akal, dan harta. Keperluan yang dimaksudkan itu adalah agama, jiwa, aqal, keturunan dan harta. Kelima-lima perkara ini perlu dititik beratkan dan dilindungi.


1. Agama         
Perkara pertama ialah agama. Manusia memerlukan agama yang benar untuk memastikan aktiviti harian mereka dipandu oleh prinsip yang di bawa agama tersebut. Ini kerana manusia tidak akan mampu mencapai kebahagiaan hidup tanpa panduan agama. Tidak ada agama yang mampu merealisasikan matlamat ini melainkan agama Islam. 

Allah s.w.t berfirman di dalam surah Al-Imran ayat 19 sebagaimana bermaksud:
“Sesungguhnya agama di sisi Allah adalah agama Islam.”

Lantaran kepentingan agama, Allah telah mengizinkan para sahabat di zaman Rasul s.a.w untuk berperang. Allah s.w.t berfirman di dalam surah Al-Hajj ayat 39 yang bermaksud:
“Telah diizinkan (berperang) bagi orang-orang yang diperangai, kerana sesungguhnya mereka telah dizalimi, dan sesungguhnya Allah benar-benar Maha Berkuasa menolong mereka.”


2. Jiwa
Perkara kedua ialah jiwa. Islam amat menitik beratkan aspek menjaga jiwa. Hanya dengan jiwa manusia menjadi satu entiti yang hidup. Di dalam al-Quran Allah menegah sama sekali manusia dari melakukan perbuatan membunuh. Ini bertujuan untuk memberi jaminan kepada perlindungan jiwa. Allah berfirman dalam surah al-Isra’ ayat 33 yang bermaksud:

“dan janganlah kamu membunuh jiwa yang diharamkan Allah melainkan dengan alasan yang benar, dan barang siapa yang membunuh secara zalim maka sesungguhnya kami telah memberi kekuasaan(hak untuk membalas) kepada ahli warisnya, tetapi janganlah mereka(ahli waris) itu melampaui batas dalam membunuh(membalas), sesungguhnya dia adalah orang yang mendapat pertolongan.”


3. Keturunan
Islam amat menekankan kepada penganutnya untuk mementingkan penjagaan keturunan dari sebarang unsur yang boleh merosakkannya. Dari keturunan, terbinanya kesinambungan zuriat manusia di dunia ini. Penenkanan Islam ini dapat di lihat dari pengharaman zina di dalam Al-Quran. Sebagaimana yang di dapati di dalam surah Al-Isra’ ayat 32 sebagaimana bermaksud:

“ Dan janganlah kamu dekati zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji, dan suatu jalan yang buruk”

Islam tidak hanya melarang dari melakukan perbuatan yang mepunyai unsur-unsur yang boleh membawa kepada zina, bahkan turut menyediakan satu hukuman tetap kepada mereka yang melakukan perbuatan zina ini. Ini dapat dilihat dari al-Quran surah An-Nur ayat 2 yang bermaksud:

“ Penzina perempuan dan penzina lelaki, maka rotanlah tiap-tiap orang dari keduanya seratus kali, dan janganlah  kasihan  kepada keduanya menyebabkan kamu tidak menjalankan agama Allah,jika kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat, dan hendaklah hukuman itu disaksikan oleh golongan yang beriman.”

Larangan dari mendekati zina  dengan ketetapan bentuk hukuman yang akan diterima membuktikan bahawa Islam amat mementingkan perlindungan aspek keturunan ini. Harus di ingatkan bahawa hukuman yang di tetapkan bukanlah bertujuan untuk mendenda mereka yang melakukan perbutan ini, tetapi di sebalik perlaksanaan hukuman ini tersembunyi hikmah untuk melindungi keturunan manusia.


4.Akal
Perkara yang keempat adalah akal. Akal sangat penting kepada kehidupan manusia. Dengan pertimbangan akal yang waras memastikan tindakan yang dilakukan adalah tepat. Ketepatan dalam membuat keputusan amat penting bagi manusia kerana ianya boleh mempengaruhi aktiviti harian dan memberi kesan langsung kepada keharmonian hidup. Dengan akal yang cerdas memberi kelebihan kepada seorang pelajar untuk mecapai kejayaan berbanding dengan rakan mereka yang lain. Begitu juga dengan ibu bapa, mereka perlu bijak melakukan keputusan dan tindakan demi menjamin kebahagiaan keluarga. Oleh sebab itu antara langkah awal Islam untuk menjaga kepentingan akal ini kepada manusia, Allah telah mengharam arak kepada umat islam. Ini dapat dilihat dari surah al-Maaidah ayat 90 yang bermaksud:

“Hai orang-orang yang beriman, Sesungguhnya khamar, berjudi, korban berhala, mengundi nasib dengan panah adalah perbuatan keji yang merupakan sebahagian dari perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keuntungan.”


5. Harta
Perkara terakhir yang perlu di lindungi oleh manusia ialah harta. Untuk mendapatkan harta, manusia memerlukan usaha, tenaga dan masa. Mereka perlu bekerja untuk mendapatkan harta. Dengan harta manusia dapat memenuhi keperluan mereka untuk hidup seperti makan, minum, berkeluarga dan sebagainya. Dengan ini jelaslah bahawa harta merupakan perkara penting bagi memastikan keharmonian hidup manusia. Islam menyedari hakikat ini. Oleh itu Allah s.w.t telah memberi panduan kepada manusia dalam usaha mereka untuk mendapatkan harta. Di dalam surah an-Nisa’ ayat 29 Allah telah berfirman yang bermaksud:

“Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu saling memakan harta sesama kamu dengan cara yang salah, kecuali melalui perniagaan yang berlaku dengan saling mempersetujui antara kamu, Dan janganlah kamu membunuh dirimu, sesungguhnya Allah adalah Maha Penyayang kepadamu.”

Walaubagaimanapun, Islam tidak hanya memberi panduan kepada manusia, bahkan turut menetapkan hukuman kepada mereka yang mengambil harta orang lain dengan jalan mencuri. 

Hal ini dapat di lihat daam surah al-Maidah ayat 38 yang bermaksud:

“ pencuri laki-laki dan pencuri perempuan , maka potonglah tangan kedua-duanya, sebagai balasan bagi apa yang mereka lakukan dan sebagai siksaan dari Allah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.”

Sesungguhnya, Islam tidak sama sekali datang untuk memberi beban kepada manusia. Islam selaku agama milik Pencipta manusia pastinya sudah mengetahui kelebihan dan kelemahan yang ada pada manusia. Allah s.w.t sama sekali tidak membebankan makhluk dengan hukuman yang telah ditetapkannya. Semua bentuk larangan Allah mengandungi kemudharatan kepada manusia, dan semua perkara yang di halalkan oleh Allah mengandungi hikmah kebaikan kepada manusia. Renungilah firman Allah yang bermaksud:

“…dan Allah menghalalkan bagi mereka segala yang baik dan mengharamkan kepada mereka segala yang buruk dan membuang dari mereka beban-beban serta belengggu-belenggu(kesusahan)yang ada pada mereka…” (Al-Quran 7:157)

1 Responses to “Lima perkara yang perlu orang Islam lindungi”

  • May 7, 2013 at 11:37 AM
    Nasihat kepada MB Kedah.
    Utamakan perpaduan Melayu.
    Eratkan persaudaraan antara Melayu, Siam, India dan Cina.
    Diharap semua ADUN tidak kira UMNO dan PAS, marilah bekerjasama memajukan Kedah.
    Yang penting "Buang yang keruh, ambil yang jernih".
    MB Kedah sekarang sudah ditakdirkan di Loh Mahfuz. Kita semua wajib redha dan mentaati pemerintah.

    Takbir..
    ALLAH HUAKBAR.
    ALHAMDULILLAH.

    aaaminnnnnn.
  • Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

    Blog's stats Jumaat 30.12.2011 bersamaan 4 Safar 1433

    Back To Top
    Profile Picture
    ©1433 Hakcipta Tak Terpelihara
    Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami. Anda digalakkan untuk memaparkan sumber asal bahan tersebut.
    E-mel :detikislamblog@gmail.comatau Facebook :www.facebook.com/blogdetikislam