Sunday, October 12, 2014

Wajar Tutup Aurat Walaupun Dalam Gelap

Pakaian adalah sebahagian nikmat Allah yang tertentu bagi manusia. Pakaian adalah satu keperluan penting bagi manusia. Secara lahirnya, pakaian melindungi manusia, tetapi secara batinnya adalah lambang kemuliaan insan. Memelihara dan melindungi diri daripada panas, sejuk, cahaya matahari dan hujan adalah tujuan asas berpakaian. Hal ini seperti firman Allah bermaksud : 

“Dan Allah menjadikan bagi kamu sebahagian daripada yang diciptakan-Nya, benda untuk berteduh dan Dia menjadikan bagi kamu sebahagian daripada gunung-ganang sebagai tempat berlindung, dan Dia juga menjadikan bagi kamu pakaian yang memelihara kamu daripada panas dan sejuk, juga pakaian yang memelihara kamu ketika berjuang. Demikianlah Dia menyempurnakan nikmat-Nya kepada kamu, supaya kamu berserah diri kepada-Nya dan mematuhi perintah-Nya.” (Surah An-Nahl ayat 81)

Aspek pemakaian adalah perkara penting dalam membentuk keperibadian seseorang. Hari ini, umat Islam diperlihatkan dengan pelbagai bentuk fesyen pakaian yang menampakkan sebahagian tubuh. 

Oleh itu, kedatangan nur Islam sebagai agama suci yang sifatnya sebagai penjamin keselamatan dan kesejahteraan manusia di dunia dan akhirat menggariskan beberapa adab berpakaian. Ia bagi memelihara kesucian diri dan membentuk peribadi Muslim sejati. 

Antara adab itu ialah :-

- Disunatkan dimulakan dengan membaca Bismillah apabila hendak memakai pakaian. Hal ini kerana memang disunatkan membaca Bismillah dalam setiap pekerjaan. 

- Berniat untuk menjunjung perintah Allah iaitu menutup aurat, bukan dengan tujuan bermegah dengan pakaian itu. Ia juga bukan maksud untuk menunjuk-nunjuk kepada orang lain.

Firman Allah bermaksud: “Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami turunkan kepada kamu (bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan, dan pakaian yang berupa takwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah daripada tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmat-Nya kepada hamba-Nya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur).” (Surah al-A'raaf, ayat 26)

- Berdoa ketika mengenakan pakaian. Hal ini seperti sabda Rasulullah saw yang diriwayatkan Ibnu Sunni bermaksud: “Daripada Said Al-Khudri bahawas Nabi apabila memakai baju, baju luar atau serban, Baginda berdoa: Ya Allah, aku memohon kepada-Mu daripada kebaikannya dan kebaikan yang ada padanya, dan aku berlindung dengan-Mu daripada keburukannya dan keburukan yang ada padanya.“

Di samping itu, Rasulullah berdoa ketika memakai pakaian baru berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh at-Tirmizi daripada Ibn Umar, katanya: “Aku mendengar Rasulullah bersabda: Sesiapa yang memakai pakaian baru hendaklah dia berdoa: “Segala puji bagi Allah yang memakaikan aku dengan pakaian yang boleh menutup auratku, dan ia membuat aku indah dalam hidupku”.

“Baginda kemudian mengambil pakaian lama dan menyedekahkannya. Nescaya ia berada dalam pemeliharaan Allah dan di jalan Allah ketika hidup dan selepas mati.”

- Memakai pakaian biasa dan sederhana, tidak terlalu mahal dan tidak terlalu murah.

- Memastikan pakaian itu sentiasa bersih supaya sah dipakai untuk beribadah kerana orang beriman hendaklah sentiasa bersih badan dan pakaiannya. Firman Allah bermaksud: “Dan pakaianmu, maka hendaklah engkau bersihkan.” (Surah Muddasir, ayat 4)

- Menjauhi pakaian ketat dan jarang (nipis) bagi lelaki dan wanita dan berusaha mendapatkan pakaian yang dapat menutup tubuh dan selesa ketika memakainya. 

- Menghindari berhias-hias dan tidak mendedahkan aurat yang wajib ditutup.

Ada beberapa hadis yang memperkatakan aspek pemakaian yang digariskan oleh Rasulullah sebagai prinsip asas pemakaian sopan bagi umat Islam. 

Antara hadis itu adalah lelaki tidak boleh memakai pakaian yang menyerupai wanita dan sebaliknya. Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud, daripada Abi Hurairah, katanya, Rasulullah bersabda bermaksud: “Allah mengutuk lelaki yang memakai pakaian wanita dan wanita yang memakai pakaian lelaki.”

Hadis lain menyebutkan bahawa haram bagi kaum lelaki memakai pakaian yang dibuat daripada sutera. Diriwayatkan oleh at-Tirmizi daripada Abu Musa bahawa Rasulullah bersabda bermaksud: “Haram pakaian sutera dan emas atas kaum lelaki dari kalangan umatku, dan dihalalkan bagi kaum wanita mereka."

Disebutkan juga pakaian yang baik adalah yang mempunyai lengan baju sampai ke pergelangan tangan. Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh at-Tirmizi dan Abu Daud daripada Asma' Biniti Yazid, katanya: “Lengan baju Rasulullah hingga ke pergelangan tangan.”

Syarak turut mendefinisikan bahawa aurat adalah sesuatu yang wajib disembunyikan dan haram dilihat. Menurut pendapat jumhur ulama, disyaratkan menutup aurat sekiranya terdaya, sekalipun ketika bersendirian dalam gelap. 

Menurut pendapat Imam Hanafi, wajib menutup aurat ketika berada di khalayak ramai, begitu juga ketika berseorangan. Sabda Rasulullah bermaksud: “Wahai Asma', perempuan apabila meningkat umur haid (umur baligh), tidak boleh dilihat padanya kecuali ini dan ini.” (Baginda pun menunjukkan muka dan kedua-dua tapak tangannya)

Menurut ijmak ulama, wajib menutup aurat dalam semua keadaan sama ada waktu sembahyang atau tidak. 

Secara keseluruhannya empat mazhab utama dalam fiqh Islam iaitu Mazhab Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali menetapkan bahawa aurat bagi lelaki adalah antara pusat dan lutut.

Bagi wanita keseluruhan tubuhnya kecuali muka dan tapak tangan berdasarkan nas yang kuat daripada al-Quran dan sunnah. 

Ada banyak nas yang menyatakan kewajipan menutup aurat antara hadis riwayat Bahzu Bin Hakim daripada datuknya yang bermaksud : “Aku berkata, wahai Rasulullah, aurat apakah boleh kita dedahkannya dan apakah ditegah? Sabda Baginda: “Peliharalah aurat kamu melainkan daripada isteri dan hamba milikmu. Kataku, sekiranya ramai orang?” 

Sabda Baginda: “Jika terdaya mengelak daripada dilihat oleh sesiapa pun, maka jangan dibiarkan dilihat.”

Kataku: “Jika salah seorang daripada kami berseorangan? Baginda bersabda: “Maka Allah lebih utama untuk malu kepadanya.”

Menutup aurat bagi lelaki tidak wajib dari pandangan sendiri, tetapi makruh melihat auratnya, apatah lagi bagi pandangan orang lain. 

Aurat bagi wanita ketika di luar sembahyang dan hadapan orang lelaki bukan mahramnya adalah seluruh badannya. Ketika di hadapan wanita bukan Islam juga wajib ditutup seluruh tubuhnya kecuali anggota yang terpaksa dibuka untuk keperluan pekerjaan dan menunaikan hajat.

Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Said Al-Khudri bermaksud: “Orang lelaki tidak boleh memandang memandang aurat lelaki lain dan orang perempuan tidak boleh memandang aurat perempuan lain, dan orang lelaki tidak boleh tidur bersama lelaki lain dalam satu pakaian dan orang perempuan tidak boleh tidur bersama perempuan lain dalam satu pakaian.”

*Sumber dari al-munir.edu.my/artikel.html

0 Responses to “Wajar Tutup Aurat Walaupun Dalam Gelap”




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
p/s: Jika ada diantara blogger yang ingin bertukar pautan link dengan detikislam.blogspot.com, boleh lah pm di facebook admin.

Juga kepada blogger-blogger yang telah membuat pautan link detikislam di blog masing-masing tetapi admin masih tidak meletakkan pautan link blog saudara saudari, minta pm juga di facebook admin. Sekian, Terima Kasih

Blog's stats Jumaat 30.12.2011 bersamaan 4 Safar 1433

Back To Top
Profile Picture
©1433 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami. Anda digalakkan untuk memaparkan sumber asal bahan tersebut.
E-mel :@gmail.comatau Facebook :www.facebook.com/blogdetikislam