Menyerupai Wanita: Manusia Yang Suka Menderhaka Kepada Allah

Hari demi hari, makin banyak manusia yang suka menderhaka kepada Allah dengan meninggalkan perintah Allah dan sanggup melakukan perbuatan yang ditegah oleh-Nya. Manusia semakin liar dan lalai sehingga mahu membuat apa saja menurut kemahuan nafsu, walaupun bertentangan dengan fitrah atau semulajadi penciptaannya. 

Di antara kejadian semula jadi / fitrah yang disyariatkan oleh Allah kepada manusia ialah lelaki menjaga sifat-sifat istimewa kelakiannya seperti yang telah diciptkan; dan kaum wanita menjaga sifat-sifat istimewa kewanitaannya sebagaimana asal diciptakan Allah. Ini merupakan satu faktor penting untuk para hamba-Nya bersyukur serta menjalani kehidupan dengan normal dan sejahtera. 

Namun terdapat para lelaki yang menyerupai wanita dan sebaliknya, padahal tindakan itu adalah menyalahi fitrah atau undang-undang kebiasaan menurut asal kejadian. Hal ini akan mengakibatkan fitnah, kerosakan dan kepincangan dalam perilaku kehidupan bermasyarakat. Perbuatan songsang ini adalah haram dan dilaknat oleh Islam. Para pelakunya sudah tentu mendapat dosa besar yang memusnahkan diri sendiri dan orang lain. 

Sebuah hadis marfu' yang diriwayatkan oleh Abdullah bin 'Abbas r.a bermaksud: Rasulullah s.a.w melaknat lelaki yang menyerupai perempuan dan perempuan yang menyerupai lelaki. 

Abdullah bin "Abbas r.a juga meriwayatkan hadis yang berkaitan maksudnya: Rasulullah s.a.w melaknat lelaki yang bertingkah laku seperi wanita dan wanita yang bertingkah laku seperti lelaki. 

Penyerupaan yang dimaksudkan bersifat umum. Misalnya dalam melakukan gerakan anggota tubuh, dalam percakapan, corak berjalan dan dalam seluruh gerak diamnya seperti cara berpakaian, berambut panjang dan berdandan. Lelaki tidak boleh memakai gelang, kalung, anting-anting, gelang kaki atau berhias muka seperti perempuan. Sama ada mereka digelar pondan, bapok, si lembut atau maknyah oleh masyarakat atau tidak, golongan ini tetap luar biasa / abnormal. 

Kadangkala golongan ini sengaja mengguna perilaku mereka buat memikat serta memuaskan nafsu sesama jenis / homoseks sambil mencari wang melalui pelacuran dengan lelaki lain. Malah ada di kalangan mereka yang berbangga dan sanggup menukar jantina. Berlakunya cinta sejenis, sodomisma, perbuatan liwat dan seumpamanya seperti kaum Nabi Lut a.s yang kufur, fasiq dan tidak bermoral itu; akan menempah ancaman kebinasaan yang lebih teruk dari Allah.. 

Kaum wanita juga ditegah keras memakai pakaian yang direka khas untuk kaum lelaki walaupun menutup aurat atau kononnya nampak sopan. Mereka dilarang sengaja bersifat seperti lelaki dengan lagak berambut pendek, cara berjalan, makan minum, bercakap dan sebagainya sehingga rela dikatakan seperti lelaki, malah ada yang bernafsu terhadap sesama perempuan hingga mengakibatkan berlaku pula perbuatan lesbian / seks sesama jenis wanita. 

Jadi perbuatan sumbang dan abnormal ini sangat menyalahi syarak dan akhlak Islam ini adalah bermula dari peniruan / penyerupaan sifat-sifat yang dilarang tadi. 

Perbuatan dan tindakan demikian boleh merosakkan masyarakat; akibatnya akan timbul pula penyakit-penyakit kronik sampingan yang lebih sukar diubati dan akhirnya akan membinasakan umat dan agama Islam. 

Kaum lelaki dan wanita mestilah menjaga hak dan perbezaan jenisnya dengan bertindak memakai pakaian yang sesuai dengan fitrahnya sepanang masa, walau di mana mereka berada. Allah Taala Yang Maha Mengetahui telah mensyariatkan peraturan-peraturan yang sesuai dengan kejadian hamba-hamba-Nya. Diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a, sabda Rasulullah s.a.w yang mafhumnya: Allah melaknat lelaki yang memakai pakaian wanita dan wanita yang memakai pakaian lelaki. 

Berleluasanya perbuatan haram / abnormal ini di dalam masyarakat bermakna makin berleluasanya manusia menempah laknat Allah.

*Sumber dari tamupulaumelaka.blogspot.com


Comments