Tubuh Ahli Neraka

Mari kita renungi tubuh kita sejenak. Pernahkah salah satu bahagian tubuh kita melecur kerana terbakar api?? Atau pernahkah salah satu bahagian tubuh kita dipukul dengan benda keras???

Saya pernah mengalami luka terbakar di salah satu bahagian tubuh saya. Bahagian badan saya yang lain juga pernah dipukul dengan benda keras. Rasanya sangat menyakitkan. Dan saya perhatikan bahawa bahagian tubuh yang terbakar atau terpukul itu membesar kerana proses pembengkakan. Semakin besar luka yang saya deritai, semakin besar bengkak tersebut.

Kejadian sama akan berulang lagi di neraka. Bezanya “pembesaran” itu dalam skala yang jauh lebih besar. Ini disebabkan api neraka jauh lebih panas dan pukulan malaikat jauh lebih kuat. Apatah lagi seksaan ini berlangsung dalam jangka masa yang sangat panjang, ratusan bahkan ribuan tahun.

Kulit dan tubuh ahli neraka juga terus menerus diperbaharui supaya ia boleh terus menerus menanggung azab seksaan yang luar biasa pedihnya namun tidak pula berakhir dengan kematian.

Segala seksaan ini akan membuatkan tubuh mereka semakin membesar. Ia akan terus membesar hingga mencapai kadar yang tidak terjangkau oleh imaginasi akal manusia waktu ini.

Tubuh Ahli Neraka 
Sekarang, mari kita perhatikan hadith-hadith Nabi SAW yang menjelaskan perkara yang saya sebut di atas.

Salah satunya, sabda Baginda Nabi SAW yang bermaksud: “Jarak antara kedua-dua bahu seorang kafir di Neraka sejauh perjalanan tiga hari bagi seorang yang menaiki kenderaan yang berlari cepat.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah)

Dalam hadith al-Tarmizi daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Gigi geraham seorang kafir pada hari Kiamat sebesar gunung Uhud, pahanya sebesar gunung al-Baida dan tempat duduk di Neraka seluas perjalanan tiga hari ke al-Rabazah.”

Al-Rabazah adalah sebuah tempat yang terletak tiga batu dari Madinah. Ini menunjukkan bahawa anggota tubuh orang kafir di Neraka menjadi sangat besar dan lebar.

Demikianlah balasan yang akan diterima setiap anggota tubuh manusia yang sudah biasa melakukan maksiat serta tidak mengendahkan perintah dan larangan Allah SWT.

Begitu juga lidah manusia. Ia anggota tubuh yang paling sering digunakan untuk mengingkari dan mempersendakan ayat-ayat Allah SWT. Ia juga selalu digunakan untuk menghina orang beriman yang berusaha menjaga diri dan kehormatannya daripada noda dan dosa.
Daripada Abdullah bin Amr, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya orang kafir akan menyeret lidahnya sepanjang satu atau dua farsakh. Lidah itu diinjak-injak oleh manusia-manusia yang lain.” (Riwayat al-Tarmizi)

Para ulama berkata bahawa tubuh ahli neraka ini dibesarkan agar kepedihan seksa yang mereka rasai terus bertambah setiap waktu. Semakin luas dan lebar pemukaan badan yang diseksa, semakin banyak seksaan yang boleh ditimpa kepadanya. Dan semakin banyak seksaan yang menimpa, semakin tinggi darjah kesakitan yang akan mereka rasai.

*Sumber dari www.islam2u.net

Comments