Kejamnya Waktu Subuh

Saudaraku, 

Allah SWT berfirman dalam Al Fajr: "Demi fajar (waktu Subuh)". Kemudian dalam Al Falaq Allah mengingatkan: "Katakanlah! aku berlindung kepada Tuhan yang menguasai waktu subuh ". 

Apa sebenarnya disebalik waktu Subuh? Mengapa Allah berfirman demi waktu Subuh? Dan mengapa pula kita harus berlindung kepada yang menguasai waktu Subuh? Adakah waktu Subuh itu sangat berbahaya? 

Ya, waktu Subuh sebenarnya sangat berbahaya! Waktu Subuh itu lebih kejam dari sekawanan perompak bersenjata api. Waktu Subuh lebih menyengsarakan dari derita kemiskinan. Waktu Subuh lebih berbahaya dari api yang marak disiram petrol! 

Saudaraku, 

Jika ada sekawanan perompak menceroboh masuk kerumah kita, dan merompak kesemua barang yang kita miliki. Emas, wang tunai ribuan ringgit dan semua perhiasan dirompak. Laptop yang mengandungi data-data penting dirampas. Kereta yang belum habis ansurannya juga dicuri. Bolehkah anda bayangkan bagaimana pedihnya hati kita menerima musibah itu? 

Tapi ketahuilah, sebenarnya waktu Subuh lebih kejam dari perompak itu. Sebab jika kita 'culas waktu Subuh', sehingga melalaikan solat subuh, maka kita akan mengalami kerugian yang jauh lebih besar dari sekadar kehilangan laptop dan kereta. Bahkan kita juga akan kehilangan dunia dan segala isinya. Ingat, "Dua rakaat fajar lebih baik dari dunia dan segala isinya," (HR Muslim).

Waktu Subuh juga boleh menyengsarakan kemiskinan di dunia. Sebab bagi orang-orang yang 'culas waktu Subuh', sehingga mengabaikan solat Subuh berjamaah di masjid, maka pada hakikatnya, merekalah orang-orang miskin sejati yang hanya mendapat upah 1/150 (0.7%) sahaja dari pahala solatnya. 

"... Dan barangsiapa yang solat Subuh berjamaah, maka ia bagaikan solat semalam suntuk" (HR Muslim). 

Saudaraku, 

Solat semalam suntuk adalah solat yang dikerjakan mulai dari tenggelamnya matahari hingga terbit fajar. Hebat! Solat selama sepuluh jam, atau lebih kurang 150 kali solat! Jadi, betapa agungnya fadilah solat Subuh berjamaah ini, khususnya bagi Kaum Adam. Dan betapa malangnya orang yang 'culas waktu Subuh', orang-orang yang mengabaikan solat subuh berjamaah di masjid. 

Waktu Subuh juga lebih berbahaya dari api yang marak disiram petrol. Mengapa demikian? Kerana Rasulullah telah bersabda, bahawa orang yang tidak mampu melaksa-nakan solat Subuh berjamaah, kedudukan-nya bersamaan dengan orang munafik. 

"Sesungguhnya tiada yang dirasa berat oleh seorang munafik, kecuali melaksanakan solat Isyak dan solat Subuh. Sekiranya mereka tahu akan keagungan pahalanya, niscaya mereka bakal mendatanginya (ke masjid, solat berjamaah) sekalipun harus berjalan merangkak-rangkak "(HR Bukhari Muslim). 

Saudaraku, 

Orang yang 'culas waktu Subuh' sehingga tidak mampu datang ke masjid untuk solat berjemaah, sesungguhnya adalah orang yang dalam keadaan terancam bahaya kerana dirinya sama dengan orang munafik. Sebab, ancaman bagi orang munafik adalah neraka Jahanam. "Sesungguhnya Allah akan mengumpulkan orang-orang munafik dan orang-orang kafir di dalam Jahanam" (An Nisa: 140). 

Bukankah Jahanam lebih berbahaya dari sekadar api yang marak disiram petrol? 

Supaya kita tidak merasakan 'culas waktu Subuh' yang lebih kejam dari kejadian rompakan, agar kita tidak terkena 'culas waktu Subuh' yang lebih menyengsarakan dari derita kemiskinan, dan agar kita tidak terkapar 'culas waktu Subuh' yang lebih berbahaya dari sambaran api, maka : "Katakanlah! Aku berlindung kepada Tuhan yang menguasai waktu Subuh "(Al Falaq: 1) . Iaitu dengan memanfaatkan waktu Subuh sebaik-baiknya. Lakukan solat sunnah (solat subuh) dan solat berjemaah di masjid terutama bagi lelaki. 

Saudaraku, 

Tapi ada satu soalan yang tinggal, iaitu mengapa waktu Subuh boleh menculaskan kita? Jika diperhatiakn sesungguhnya waktu Subuh adalah waktu yang paling berat buat kita yang ingin beribadah. Mengapa? Kerana waktu Subuh adalah saat paling tenang, sehingga sangat baik untuk menenggelamkan diri dalam tidur nyenyak dan bermimpi indah. Ditambah lagi, umumnya suhu dingin waktu Subuh lebih sejuk berbanding waktu lain sehingga mereka yang sedang tidur semakin merapatkan selimutnya. 

Tapi yang paling berbahaya ialah, kalau kita dikepung oelh pasukan iblis yang akan kencing di telinga kita, agar tidak boleh mendengar panggilan "Solat itu lebih baik daripada tidur!" Dari speaker masjid, dan meniup-niup mata kita sehingga mata kita seperti digam atau kelopaknya bagaikan ditindih dengan beban berjuta-juta tan.

Suasana waktu Subuh dan hasil daya usaha pasukan iblis itulah yang akan "menculaskan" niat kita, tekad kita untuk bangun dan mendirikan solat. Sehingga kita terus terkapar tanpa daya di atas katil empuk dan mimpi indah dan melalaikan solat subuh serta solat Subuh berjemaah di masjid. Jadi, jangan anggap remeh kekuatan waktu Subuh dalam mematahkan atau mengugat iman kita sehingga iman kita tidak boleh bertumbuh dengan subur oleh siraman fadilah solat subuh dan solat berjemaah. 

Wallahu A'lam.

*Diterjemahkan oleh Detik Islam dari sumber islampos.com

Comments