Saudara-saudara sekalian,
Sudah menjadi adat kebiasaan, apabila datangnya tahun baru Masihi, maka diadakan pesta-pesta atau majlis-majlis bagi menyambut kedatangan tahun baru tersebut, bukan sahaja oleh orang-orang Kristian yang mengingati tarikh kelahiran Nabi Isa a.s. tetapi juga oleh orang-orang Islam yang jahil tentang ajaran Islam.
Dengan mengadakan pesta-pesta menyambut tahun baru masihi, sebagaimana yang berlaku pada hari ini, sebagaimana disiarkan oleh media-media masa, dengan disertai oleh segolongan orang yang mengaku Islam, menandakan betapa jahilnya mereka tentang Islam, dan menunjukkan betapa mereka terpengaruh dengan budaya Yahudi dan Nasrani.
Sedangkan musuh-musuh Islam daripada kalangan Yahudi dan Nasrani tidak putus-putus mengadakan perancangan untuk menyesatkan umat Islam. Firman Allah dari Surah al-Baqarah ayat 120 yang bermaksud: "Dan selama-lamanya orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak redha kepada kamu, sehinggalah kamu mengikut agama mereka."
Kebiasaannya sebagaimana berlaku, sambutan akan bermula dengan diadakan perhimpunan di bandar-bandar besar khususnya di ibu negara untuk menyambut detik jam dua belas malam, bagi menandakan beredarnya tahun lama dan tibanya tahun baru. Di dalam perhimpunan tersebut, dipenuhi oleh remaja-remaja dan anak-anak muda, lelaki dan perempuan bergaul bebas, berpegang tangan dan berpelukan, sambil menggoyangkan badan dengan dihiburkan oleh artis-artis terkenal negara.
Ada pula daripada pemimpin yang tumpang sekaki berseronok sama. Ada pula syarikat-syarikat arak yang membahagikan arak dengan percuma kepada pengunjung-pengunjung pesta untuk merancakkan lagi sambutan tahun baru.
Muslimin sekalian,
Kita sebagai orang-orang Islam patut sedar bahawa tidak ada istilah tahun baru dan tahun lama di dalam hidup kita. Tanggungjawab kita ialah tetap patuh kepada perintah Allah, dan melaksanakan ajaran Islam sepanjang hidup kita, bermula diawal tahun sehingga akhir tahun, bermula kita mencapai umur baligh sehinggalah kita masuk ke dalam lubang kubur.
Firman Allah dari Surah al-Hajr ayat 99 yang bermaksud:
"Dan sembahlah TuhanMu sehingga tiba kepada kamu keyakinan (kematian)". Sebaliknya, oleh kerana jahil tentang matlamat hidup di dunia, maka manusia jenis ini telah memasang azam dan cita-cita yang berbagai-bagai dengan tibanya tahun baru. Para artis dan penyanyi memasang azam tahun baru untuk berlakon filem dengan lebih baik lagi, dan menghasilkan album yang lebih menghiburkan lagi.
Ahli sukan pula akan bercita-cita untuk memajukan sukan negara, untuk mendapat pingat emas, dan seterusnya mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa. Ahli perniagaan dan korporat pula bercita-cita mengembangkan lagi syarikat perniagaan masing-masing untuk mendapatkan untung paling tinggi di dalam sejarah.
Ahli politik dan pemimpin-pemimpin negara pula berazam untuk memajukan lagi negara, meningkatkan lagi KDNK, menambahkan lagi nilai eksport negara dan sebagainya. Tidak ada satu golongan pun daripada mereka yang menyuarakan cita-cita dan azam untuk menjadi orang yang lebih bertaqwa, lebih pemurah, lebih patuh kepada hukum-hakam Allah dan lebih menghayati ajaran Islam kerana menyedari bahawa dengan datangnya tahun baru menandakan umur semakin pendek dan semakin hampir dengan lubang kubur.
Saudara-saudara sekalian,
Di dalam Islam, kiraan tahun dimulakan dengan tarikh hijrah Rasulullah s.a.w. dan ia dipanggil tahun hijrah. Kenapa peristiwa hijrah dikaitkan dengan kalendar umat Islam? Kerana peristiwa hijrah merakamkan peristiwa sangat penting di dalam Islam. Peristiwa itu menandakan bermulanya pembentukan sebuah daulah Islamiyyah (kerajaan Islam) yang melambangkan suatu bentuk ajaran Islam yang sempurna, bukan sahaja menjelma di dalam diri, tetapi juga di dalam masyarakat dan negara.
Hijrah menandakan bermulanya era baru bagi Islam. Jika sebelum daripada itu, Islam hanya berlegar di dalam hati penganut-penganutnya daripada kalangan para sahabat, yang tidak diizinkan oleh golongan kafir Quraisy Makkah untuk dizahirkan di alam nyata. Dengan berlakunya hijrah, maka Islam dapat dizahirkan di dalam diri melalui ibadat-ibadat yang diwajibkan, dizahirkan di dalam masya-rakat sehingga lahir sebuah masyarakat yang bersatu padu dengan persaudaraan Islam, dizahirkan di dalam bidang ekonomi yang membuahkan kemakmuran.
Dengan adanya sebuah negara Islam, maka keadilan hukum Islam dizahirkan di dalam undang-undang yang melahirkan satu keadilan yang tidak pernah tergambar oleh manusia sebelum daripada itu, dan Islam dilahirkan di dalam sebuah negara yang menumbuhkan khilafah Islamiyah yang memancarkan rahmat dan cahayanya ke seluruh pelusuk dunia.
Mengapa ada di antara kita yang sangat meng-agungkan tahun baru yang tidak ada kaitan dengan Islam? Lebih parah daripada itu, sambutan tahun baru yang turut disertai sama oleh orang-orang yang mengaku Islam, seperti yang diadakan di bandar-bandar besar, menyelitkan program-program maksiat dan bercanggah dengan ajaran Islam. Jadilah majlis menyambut tahun baru itu majlis maksiat di atas maksiat, berlipat ganda kesesatan dan kemungkaran.
Jabatan-jabatan agama juga melaporkan bahawa pada malam sambutan tahun baru, berlori-lori pasangan muda mudi Islam yang ditangkap berkhalwat dan berzina. Ini menunjukkan bahawa rancangan musuh-musuh Islam untuk merosakkan akhlak dan agama generasi umat Islam telah mencapai kejayaan. Musuh-musuh Islam menjadikan kegiatan dan rancangan-rancangan hiburan yang melalaikan itu sebagai senjata paling berkesan untuk menghancurkan akhlak dan peribadi umat Islam.
Apabila agama dan akhlak telah rosak, maka generasi muda umat Islam sudah tidak berguna lagi untuk mempertahankan Islam. Sejarah telah membuktikan bahawa, walaupun musuh-musuh Islam melakukan berbagai usaha berbentuk kekerasan untuk memurtadkan umat Islam, namun mereka tetap gagal.
Terlalu sedikit daripada orang-orang Islam yang sanggup menukar agama mereka. Oleh itu, musuh-musuh Islam telah mengubah cara mereka, dengan menggunakan pendekatan lembut dan paling berkesan, iaitu mengubah akhlak, pemikiran dan kefahaman umat Islam.
Cara yang digunakan ini telah berjaya meruntuhkan akhlak generasi umat Islam, sehingga mereka hilang perasaan malu untuk melakukan maksiat. Cara tersebut berjaya melahirkan pemimpin-pemimpin daripada kalangan orang-orang Islam yang akan meneruskan ajaran dan fahaman penjajah di dalam tanah air umat Islam, selepas keluar penjajah daripada bumi umat Islam.
Cara tersebut juga berjaya melahirkan satu angkatan penentang ajaran Islam daripada anak bangsa negeri umat Islam sendiri. Buktinya, lihatlah pada hari ini, rancangan-rancangan hiburan seperti konsert, pesta ria, ekspo dan sebagainya dipenuhi oleh pemuda dan pemudi, sedangkan majlis-majlis agama hanya didatangi oleh orang-orang tua yang sudah hampir mati.
Penyanyi-penyanyi daripada luar negara dibenarkan masuk ke dalam negara ini untuk menghiburkan orang ramai, tetapi penceramah-penceramah agama tempatan dihalang daripada memberi ceramah dan peringatan tentang agama kepada orang-orang Islam. Lihatlah pula bagaimana berjayanya musuh-musuh Islam memulas kepala segolongan umat Islam yang belajar di Barat dan terdidik dengan budaya Barat.
Apabila mereka mendapat kuasa pemerintahan, mereka menjadi pemimpin yang setia dengan ideologi Barat, sistem-sistem Barat dan berkiblat kepada negara-negara Barat. Musuh-musuh Islam tersenyum puas melihat gelagat pemimpin-pemimpin seperti ini yang menjadi kaki dan tangan negara-negara Barat bekas penjajah.
Muslimin sekalian,
Kita berasa hairan, kenapa setelah negara kita didakwa menjadi negara Islam contoh, tetapi dalam masa yang sama membiarkan pesta-pesta maksiat seperti pesta menyambut tahun baru. Adakah Islam itu hanya memadai pada nama sahaja, bukan pada amalan dan perlaksanaan ajaran Islam? Adakah cukup dengan hanya mengaku negara Islam, tetapi memejam mata sahaja apabila melihat kemungkaran berlaku di dalamnya?
Dengan segala peristiwa yang berlaku itu, cukup menyedarkan kita betapa jauh lagi perjalanan perjuangan Islam yang kita dokong ini. Perjuangan kita bukan sekadar untuk membaiki diri sendiri, bahkan bertujuan membaiki masyarakat yang lumpuh di dalam menghadapi berbagai ujian yang mampu mengikis iman dan Islam seseorang, ditambah lagi dengan rancangan-rancangan musuh-musuh untuk menghancurkan Islam dan umat Islam siang dan malam.
Firman Allah dari Surah al-Imran ayat 200 yang bermaksud: "Wahai orang-orang beriman! Bersabarlah, kuatkan kesabaran, bersiap sedialah (di dalam perjuangan Islam) dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu mencapai kejayaan."
*Sumber dari www.tranungkite.net
Comments