Kisah Nabi Ibrahim Mengajak Orang Kafir Makan



Digalakkan makan tidak bersendiri. Zaman kita sekarang lagi unik. Makan ditemani dengan telefon, tengok berita, tengok yotube, facebook jadi makan bersama dengan anak isteri sambil ditemani dengan telefon. Kita digalakkan makan bersama dan di mana ketika makan itu ada sedikit percakapan tetapi tidak bercakap berlebihan kerana makruh bila bercakap banyak ketika makan. Juga tidak digalakkan ketika makan bersama tidak bercakap. Makruh banyak bercakap dan makruh sama sekali tidak bercakap ketika makan. Yakni yang boleh adalah sederhana, bercakap tetapi tidak banyak dan tidak bercakap ketika makanan ada di dalam mulut. 

Dalam suatu hari Nabi Ibrahim as ketika dihidangkan makanan, Nabi Ibrahim mencari orang untuk makan bersama Beliau. Nampak seorang lalu dan dipanggil oleh Nabi Ibrahim mengajak makan bersama dengannya. Didapati orang yang dipanggil itu bukan orang Islam. Nabi Ibrahim memberikan syarat jika mahu makan bersama dengannya perlu beriman terlebih dahulu. Orang itu berkata Aku tidak mahu makanan engkau. Balas Nabi Ibrahim baiklah. Lalu orang itu pergi. 

Turun wahyu kepada Nabi Ibrahim, menegur Nabi Ibrahim. Allah berkata kenapa kamu tidak ajak dia untuk makan bersama. Nabi Ibrahim berkata orang ini kafir tidak beriman dan ingkar kepada Engkau. Allah berkata orang itu sudah lama ingkar kepada Aku, Aku beri makan kepada dia. Allah menegur Nabi Ibrahim yang bersikap demikian. Maka orang itu dicari oleh Nabi Ibrahim sehingga jumpa dan mengajak orang itu untuk makan bersama dengannya. Orang itu berkata tadi kamu kata tidak mahu dan sekarang kamu memanggil aku untuk makan di rumah mu. Kata Nabi Ibrahim, Allah tegur kepada aku kerana tidak mengajak engkau makan sementara keadaan selama ini engkau kufur, Allah bagi engkau makan. Baru sekali berjumpa dengan engkau dan tahu engkau kafir dan Aku tidak beri makan lalu aku ditegur oleh Allah SWT. Orang itu berkata kepada Nabi Ibrahim, Tuhan mu menegur engkau kerana aku? Lalu orang itu beriman dengan Nabi Ibrahim.

Ini indahnya bermuamalah dengan orang lain yang pelbagai kategori, pelbagai latar belakang bahkan agama. Allah menjadikan kamu berpuak-puak, pelbagai bangsa, pelbagai latar belakang untuk apa? Untuk saling kenal mengenali. Itu tujuan hidup dalam masyarakat majmuk. Tetapi siapa yang terbaik antara kita? Yang terbaik antara kamu adalah yang bertakwa kepada Allah SWT.

Comments