Syukur bukan kufur, buat mereka yang masih diberi kesihatan,kenikmatan...


Dikisahkan, pada suatu hari Rasulullah SAW pergi keluar rumah. Di tengah jalan, beliau bertemu Abu Bakar dan Umar bin Khattab. "Mengapa kamu keluar rumah," tanya Nabi. Jawab mereka, "Tak ada yang membuat kami keluar rumah selain rasa lapar."

Rasulullah SAW sendiri pergi keluar rumah juga kerana lapar. Lalu, beliau mengajak dua sahabatnya itu datang ke rumah seorang sahabat bernama Abu Ayyub al-Ansari. Sang tuan rumah, Abu Ayyub, bergembira ria oleh kedatangan tetamu-tetamu yang sangat dihormatinya itu. Abu Ayyub menyuguhkan roti, daging, kurma basah dan kering (tamar). Setelah mereka menikmati suguhan itu, Nabi SAW dengan mata berkaca-kaca berkata, "Kenikmatan ini akan ditanya oleh Allah kelak di hari Kiamat." (HR Muslim, Thabrani, dan Baihaqi).

Kisah ini mengajarkan kepada kita kewajipan syukur atas pelbagai kenikmatan yang diberikan oleh Allah SWT kepada kita, baik kecil atau besar. Dengan syukur dan mengingati Allah Sang Pemberi nikmat maka kegiatan yang kelihatan remeh, seperti makan dan minum, dapat bernilai ibadah dan menjadi sebahagian dari bentuk kepatuhan kepada Allah SWT (min alwan al-tha'ah).

Air mata Nabi, dalam kisah ini, boleh difahami sebagai ekspresi keprihatinan beliau atas kenyataan bahawa manusia pada umumnya kurang bersyukur, tetapi kufur nikmat. Kalau kenikmatan kecil-kecilan sahaja seperti makan dan minum wajib disyukuri, bagaimana dengan kenikmatan yang besar-besar seperti nikmat iman, kesihatan, dan kekayaan (yang melimpah)? "Dan terhadap nikmat Tuhanmu, maka hendaklah kamu siarkan." (Surah al-Dhuha [93]: 11).

Menurut pakar tafsir al-Ishfahani, syukur bermakna memahami dan menyedari nikmat, lalu menyatakannya melalui zakat, infak, dan sedekah. Syukur juga bererti mempergunakan nikmat sesuai maksud dan tujuan diberikannya nikmat itu. Maka, pemberian kemudahan nagara untuk pelaksanaan tugas tak boleh diselewengkan untuk keperluan peribadi dan golongan. Ini salah satu bentuk kekufuran.

Syukur juga bermakna membangunkan nikmat (potensi baik) agar tumbuh dan berkembang lebih produktif. Maka, sikap pembiaran terhadap kekayaan alam dan budaya kita yang melimpah sebagai anugerah Allah, merupakan bentuk kekufuran yang lain lagi.

Kita semua disuruh bersyukur, bukan kufur. Namun, pada kenyataannya, tak semua orang pandai bersyukur. Menurut Imam Ghazali, agar menjadi manusia yang penuh syukur, kita harus sedar bahawa semua anugerah dan nikmat yang kita miliki sejatinya datang dan berasal dari Allah. Konglomerat seperti Qarun menjadi kufur, kerana merasa semua kekayaannya yang sangat besar itu diperoleh kerana kehebatannya sendiri. Ketika ditanya tentang kekayaannya, Qarun berkata, "Sesungguhnya aku hanya diberi harta itu, kerana ilmu yang ada padaku". (Surah al-Qasas [28]: 78).

Berlainan dengan Qarun, Nabi Sulaiman AS, dengan kuasa dan kekayaan yang jauh lebih besar, justeru menyandarkan semua kuasa dan kekayaannya itu kepada Allah SWT semata-mata. "Ini termasuk kurnia Tuhanku untuk mencuba aku apakah aku bersyukur atau mengingkari (kufur) akan nikmat-Nya." (Surah al-Naml [27]: 40). Maka, bersyukurlah, bukan kufur! Wallahu a `lam

- sumber dari republika.co.id


Comments