Thursday, January 29, 2015

Tulang Busuk Penegak Keadilan


SEJAK dilantik menjadi gabenor Mesir oleh Khalifah Umar al-Khattab, Amru al-Ash tinggal di sebuah istana yang berhadapan dengan sebidang tanah kosong dan di atas tanah itu, ada sebuah pondok kecil. 

Sebagai gabenor, beliau berhasrat untuk mendirikan sebuah masjid yang indah dan mewah di atas tanah kosong itu supaya seimbang dengan kewujudan istananya, namun impian itu terhalang kerana tanah serta pondok berkenaan dimiliki oleh seorang Yahudi. 

Justeru, kewujudannya dianggap tidak berapa sedap dilihat kerana terletak berhadapan dengan sebuah istana penguasa. Pada suatu hari, pemilik tanah dan pondok berkenaan dipanggil menghadap gabenor Amru Al-Ash di istana untuk membincangkan rancangan dan hasratnya itu. 

Selepas berjumpa Yahudi itu, Amru berkata: “Wahai Yahudi, berapakah harga tanah bersama dengan pondok kamu itu? Aku mahu membina masjid di atasnya.”

Bagaimanapun Yahudi itu menggelengkan kepala sambil berkata: “Tidak akan saya jualkan kedua-duanya, tuan.”

Sesudah itu, Amru berkata: “Aku akan membayarnya tiga kali ganda daripada harga biasa?”

Tawaran gabenor sungguh lumayan namun Yahudi itu tetap enggan menjualnya. 

Amru tetap menawarkan supaya ia dijualkan dan mengingatkannya mengenai kemungkinan beliau akan menyesal jika tidak berminat. Namun apa yang pasti, walaupun selepas berkali-kali gabenor membuat tawaran, Yahudi itu tetap menegaskan bahawa dia tidak mahu menjualkannya dan tidak sesekali menyesal.

Selepas orang Yahudi itu meninggalkan istananya, Amru menetapkan satu keputusan untuk membongkar tempat tinggal kepunyaan Yahudi itu dan mendirikan sebuah masjid besar di atas tanah berkenaan dengan alasan demi kepentingan bersama serta mengindahkan pemandangan.

Yahudi itu tidak boleh berbuat apa-apa menghadapi tindakan sang penguasa. Namun, dia tidak putus asa memperjuangkan haknya dan bertekad hendak mengadu perbuatan gabenor Amru kepada ketua pemerintahnya yang berada di Madinah, iaitu Khalifah Umar bin Khatab.

Sesungguhnya dia tidak menyangka bahawa khalifah yang namanya sangat masyhur itu ternyata tidak mempunyai istana mewah langsung. Apabila sampai, Yahudi itu disambut oleh khalifah di halaman Masjid Nabawi, iaitu di bawah sebatang pokok kurma yang rendang.

“Ada keperluan apa tuan datang jauh dari Mesir?” tanya Khalifah Umar sesudah ia menyambut kedatangan Yahudi itu dari seberang selat.

Walaupun agak gementar apabila berdiri di depan khalifah, Yahudi itu akhirnya berjaya menenangkan hatinya kerana ketua negara Islam yang bertubuh tegap itu menatapnya dengan pandangan yang sejuk hingga lancar lidahnya dapat menceritakan masalah dan keperluannya. 

Yahudi itu memberitahu bahawa beliau bekerja keras seumur hidup hingga dapat membeli sebidang tanah dan pondok kecil di sebuah kawasan berhadapan dengan istana gabenor. Akhirnya, tanah itu dirampas oleh gabenor Amru dan dibangunkan sebuah masjid yang indah dan besar. 

Umar mendadak merah padam mukanya. Dengan murka dia berkata: “Kurang ajar si Amru. Perbuatannya sudah keterlaluan.” Sesudah agak reda nafsu amarahnya, Umar lantas menyuruh Yahudi itu supaya mengambil sebatang tulang dari tempat sampah yang berlonggok dekatnya. Yahudi itu ragu-ragu menurutkan perintah berkenaan. 

Selepas perintah itu diulang dua kali, maka Yahudi itu dengan kebingungan mengambil sebatang tulang belikat unta dan diserahkannya kepada Khalifah Umar. 

Kemudian, Umar menoreh tulang belikat unta itu dengan huruf alif yang lurus dari atas ke bawah lalu dipalang pada tengah-tengahnya menggunakan hujung pedang. 

Tulang itu diserahkannya kepada Yahudi berkenaan seraya berpesan: “Tuan, bawalah tulang ini baik-baik ke Mesir, dan berikan kepada gabenor aku, Amru bin Ash.”

Yahudi itu tertanya kerana beliau datang dari jauh iaitu dari Mesir ke Madinah untuk memohon keadilan daripada khalifah tetapi dia hanya menerima sebatang tulang yang berbau busuk, yang cuma digores dengan hujung pedang. 

“Maaf, tuan khalifah,” ucap beliau tidak puas.

“Saya datang ke mari menuntut keadilan. Namun, bukan keadilan yang tuan berikan melainkan sepotong tulang yang tidak berharga. Bukankah ini suatu penghinaan atas diri saya?”

Umar tidak marah sebaliknya menegaskan pendiriannya dengan berkata: “Wahai Yahudi. Pada tulang busuk itulah terletak keadilan yang tuan inginkan.”

Walaupun sambil mendongkol dan mengomel di sepanjang jalan, orang Yahudi itu terus berangkat meninggalkan Madinah menuju ke negeri tempat mukimnya dengan hanya membawa hasil sepotong tulang belikat unta yang berbau busuk.

Anehnya, tulang yang kelihatan tidak ada nilai itu diterima oleh gabenor Amr dan tanpa diduga oleh Yahudi, tubuh Amru tiba-tiba menggigil dan wajahnya pucat ketakutan. 

Seketika itu, dia memerintahkan anak buahnya supaya merobohkan masjid yang baru saja siap dibina dan mendirikan semula pondok kecil kepunyaan Yahudi itu, serta menyerahkan hak atas tanah berkenaan secara utuh seperti semula.

Anak buah Amru sudah berkumpul keseluruhannya. Masjid yang memakan belanja besar itu akan dihancurkan. 

Namun, tiba-tiba Yahudi itu mendatangi gabenor Amru dengan terburu-buru.

“Ada perlu apa lagi, tuan?” tanya Amru dengan nada yang halus dan hormat.

Dalam keadaan yang masih termengah-mengah itu, Yahudi berkenaan berkata: “Maaf, tuan jangan dibongkar dulu masjid itu. Izinkan saya menanyakan satu perkara paling pelik yang mengusik perasaan saya.”

“Perkara yang mana?” tanya Gabenor tidak mengerti.

“Apa sebabnya tuan begitu ketakutan dan menyuruh supaya merobohkan kembali masjid itu hanya kerana tuan menerima sepotong tulang dari Khalifah Umar?”

Gabenor Amru berkata: “Wahai, Yahudi. Ketahuilah kamu bahawa tulang itu adalah tulang biasa, malah baunya busuk tetapi oleh kerana ia dikirimkan oleh khalifah, tulang itu menjadi peringatan yang amat tajam dan tegas dengan dituliskan beliau satu huruf alif yang dipalang tengah-tengahnya.”

“Maksudnya?” tanya Yahudi semakin kehairanan.

“Tulang itu berisi ancaman Khalifah yang bermaksud: “Amru bin Ash. Ingatlah kamu, siapa pun engkau sekarang, betapa tinggi pun pangkat dan kekuasaan kamu, suatu saat nanti kamu pasti berubah menjadi tulang yang busuk. Justeru, bertindak adil lah kamu seperti huruf alif yang lurus, adil di atas dan adil di bawah. Sebab, jika engkau tidak bertindak lurus, aku palang di tengah-tengah kamu, aku tebas batang leher kamu.” 

Yahudi itu tunduk terharu. Dia kagum atas sikap khalifah yang tegas dan sikap gabenor yang patuh kepada pihak atasannya hanya dengan menerima sepotong tulang. Ia adalah bukti yang mulia kerana benda yang rendah berubah menjadi keputusan hukum yang keramat dan ditaati di tangan penguasa yang beriman. 

Maka Yahudi itu kemudian menyerahkan tanah dan pondoknya sebagai wakaf. Selepas kejadian itu, dia menyatakan memeluk Islam.

*Sumber dari blogtokwan.blogspot.com

0 Responses to “Tulang Busuk Penegak Keadilan”




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
p/s: Jika ada diantara blogger yang ingin bertukar pautan link dengan detikislam.blogspot.com, boleh lah pm di facebook admin.

Juga kepada blogger-blogger yang telah membuat pautan link detikislam di blog masing-masing tetapi admin masih tidak meletakkan pautan link blog saudara saudari, minta pm juga di facebook admin. Sekian, Terima Kasih

Blog's stats Jumaat 30.12.2011 bersamaan 4 Safar 1433

Back To Top
Profile Picture
©1433 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami. Anda digalakkan untuk memaparkan sumber asal bahan tersebut.
E-mel :@gmail.comatau Facebook :www.facebook.com/blogdetikislam