Pukul Jika Meninggalkan Solat Ketika Umur 10 Tahun.

Konsep balasan kepada kesalahan yang dilakukan oleh anak. Sehubungan dengan itu, kita harus mendenda anak sekiranya mereka cuai atau melakukan kesalahan. Berdasarkan ini, Islam mengharuskan kita memukul atau merotan anak sekiranya mereka meninggalkan solat ketika berumur sepuluh tahun. Pada usia ini ada antara anak kita yang telah mencapai umur baligh atau hampir baligh iaitu usia taklif. Akan tetapi apa yang diharuskan itu mestilah satu perkara yang munasabah.

Selain ibu bapa, para guru juga diharuskan mendenda atau merotan anak muridnya yang cuai atau melakukan kesalahan. Walau bagaimana pun janganlah terlalu mudah untuk mengenakan denda atau rotan tanpa cuba memperbaiki atau memperbetulkannya terlebih dahulu dengan pelbagai cara yang lain seperti nasihat. Perkara ini penting dilakukan bagi tujuan menanamkan perasaan pada anak bahawa denda atau rotan itu bertujuan untuk menghentikan mereka daripada melakukan kesalahan berulang-kali untuk kepentingan diri mereka sendiri. Lantaran, Islam lebih menggalakkan kita berlemah-lembut dalam menyampaikan ilmu kepada anak-anak agar matlamat mendidik anak-anak tersebut tercapai dan tidak menganggu perkembangan psikologi mereka. Contoh pendekatan Rasulullah saw dalam mendidik anak:


عَنْ فَاطِمَةَ بِنْتِ مُحَمَّدٍ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَضِيَ اللهُ عَنْهَا قَالَتْ: مَرَبِّي رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَنَا مُضْطَجِعَةٌ مُتَصَبِّحَةٌ فَحَرَّكَنِي بِرِجْلِهِ ثُمَّ قَالَ: يَا بُنَيَّةَ قُومِي اشْهَدِي رِزْقَ رَبِّكِ، وَلاَ تَكُونِي مِنَ الغاَفِلِينَ، فَإِنَّ اللهَ عَزَّ وَجَلَّ يَقْسِمُ أَرْزَقَ النَّاسِ مَا بَيْنَ طُلُوعِ الفَجْرِ إِلَى طُلُوعِ الشَّمْسِ.[14]

Yang bermaksud, Daripada Fatimah binti Muhammad saw r.a berkata: Rasulullah selalu datang menghampiriku pada waktu subuh sedang aku nyenyak tidur maka Baginda menggerakkan aku supaya bangun dengan lbu jari kakinya sambil Baginda bersabda: Wahai anakku Fatimah, hendaklah anakanda bangun segera lihat rezeki daripada Tuhan anakanda dan janganlah anakanda menjadi orang yang pemalas. Hendaklah anakanda mengetahui Tuhan telah menetap pemberian rezekiNya kepada seluruh umat manusia di antara terbit fajar sehingga terbit matahari.

 Hadith yang lain,

وَقَدْ كَانَ النَّبِي صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُعَلِّمُ أَصْحَابَهُ أَنْ يُعَامِلُوا أَوْلاَدَهُمْ بِالرِّفْقِ وَاللَّيْنِ، وَيَضْرِبُ لَهُمُ المَثَلَ بِمَا يُمَارِسُهُ هُوَ بِنَفْسِهِ، فَقَدْ كَانَ يُصَلِّى يَوْمًا إِمَامًا، فَارْتَحَلَهُ الحَسَنُ ابْنُ بِنْتِهِ السَّـيِّدَةِ فَاطِمَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهَا، فَأَطَالَ السُّجُودَ، فَلَمَّا فَرَغَ قَالَتِ الصَّحَابَةُ، يَا رَسُولَ الله! أَطَلْتَ السُّجُودَ؟ فَقَالَ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، إِنَّ ابْنِي ارْتَحَلَنِي فَكَرِهْتُ أَنْ أُعَجِّلَهُ.

Yang bermaksud, Baginda Rasulullah saw telah mengajar sahabat-sahabat Baginda bagaimana cara melayan anak-anak dan cucu-cucu mereka dengan lemah lembut dan Baginda sendiri telah menunjukkan sebaik-baik contoh sebagaimana yang diceritakan bahawa Baginda Rasulullah solat berjemaah di masjid dan Baginda sendiri menjadi Imam. Tiba-tiba cucunya yang bernama Hassan memaut leher Baginda ketika Baginda sedang sujud menunaikan solat. Rasulullah sebagaimana yang diriwayatkan memanjangkan sujudnya ketika itu. Setelah selesai solat, seorang sahabat bertanya: Engkau memanjangkan sujud?. Jawab Rasulullah saw: Cucuku sedang menunggangku maka aku tidak sampai hati tidak menyampaikan kehendaknya.

 Hadith lain pula,

عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهَا قَالَتْ، مَا رَأَيْتُ أَحَدًا أَشْـبَهَ سِمْتًا وَلاَ هَدْيًا بِرَسُولِ الله صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ فَاطِمَةَ بِنْتِ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَرَضِيَ اللهُ عَنْهَا، كَانَتْ إِذَا دَخَلَتْ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَامَ إِلَيْهَا فَقَبـَّلَهَا وَأَجْلَسَهَا فِي مَجْلِسِهِ، وَكَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا دَخَلَ عَلَيْهَا قَامَتْ مِنْ مَجْلِسِهَا فَقَـبَّلَتْهُ وَأَجْلَسَتْهُ فِي مَجْلِسِهَا.[15]  

Yang bermaksud, Daripada ‘Aishah telah berkata: Belum pernah aku melihat seorang pun menyamai Rasulullah saw di dalam ketenangan dan keraiannya yang mana Siti Fatimah binti Rasulullah saw ketika dia masuk berjumpa Nabi saw maka Rasulullah saw pun bangun dan memeluknya serta mempersilakan dia duduk di majlisnya. Begitu juga apabila Baginda masuk berjumpa Fatimah r.a, kemudian dia (Fatimah r.a) bangun dan memeluk Rasulullah saw serta mempersilakan duduk di majlisnya.

*Dipetik dari artikel PENDIDIKAN ANAK DENGAN SOLAT oleh Oleh: Y.B S.S Dato’ Hj.Mohd Murtadza bin Hj. Ahmad Mufti Kerajaan Negeri Negeri Sembilan Darul Khusus


Comments