Perubahan Arah Kiblat Pada Tahun Kedua Hijrah


ARAH menghadap ketika solat disebut 'kiblat', iaitu Kaabah di Mekah, Arab Saudi. Kiblat berasal daripada bahasa Arab al-qiblah yang bererti arah. Kata al-qiblah sendiri berasal daripada kata kerja qabala-yaqbalu yang bermaksud menghadap. Kewajipan umat Islam untuk berkiblat ke Kaabah di Mekah bermula pada tahun kedua Hijrah. Sebelum itu, ketika melaksanakan solat, umat Islam masih menghadap ke al- Sakhrah di Baitulmaqdis. 

Perubahan arah kiblat solat ini didasarkan pada firman Allah SWT yang memerintahkan umat Islam mengubah arah kiblat dari Baitulmaqdis ke Masjidil Haram di Mekah. Batas kiblat Ada dua ayat yang menyebut tentang batas kiblat bagi umat Islam, iaitu al-Baqarah: 144 dan 150 yang bermaksud: Oleh itu palingkanlah mukamu ke arah Masjidil Haram. Kata syatr (arah) dalam ayat tersebut dipertikaikan oleh ulama fikah. 

Ada yang memahaminya sebagai  'tepat mengarah ke Kaabah' dan ada pula yang memahaminya 'sekitar Kaabah sekalipun tidak tepat menghadap Kaabah'. Kedua-dua pendapat tersebut dibenarkan kerana mereka yang berada di sekitar dan langsung melihat Kaabah tentu harus menghadap ke Kaabah. Kiblat al-sakhrah Sejarah mencatatkan bahawa ketika Nabi Muhammad SAW bersama-sama para sahabat tiba di Madinah (622M), Allah SWT memerintahkan umat Islam untuk berkiblat ke al-Sakhrah (batu cadas) di Baitulmaqdis. 

Akibatnya, orang Yahudi, sebahagian besar penduduk Yathrib (Madinah) pada waktu itu, berasa bangga kerana umat Islam berkiblat ke tempat kiblat mereka. Bahkan mereka kadang-kadang mengejek umat Islam dan menganggap bahawa Muhammad SAW mengikuti kiblat mereka. Nabi Muhammad SAW memohon ke hadrat Allah SWT supaya umat Islam berkiblat ke Kaabah. 

Allah berfirman yang bermaksud:  Kerap kali Kami melihat engkau (wahai Muhammad), berulang- ulang menengadah ke langit maka kami benarkan engkau berpaling menghadap kiblat yang engkau sukai. Oleh itu, palingkanlah mukamu ke arah Masjidil Haram. (al-Baqarah: 144). Orang yang tidak mengetahui arah kiblat boleh berijtihad untuk menentukan arah kiblat. Tanda alam yang dapat dijadikan petunjuk ialah fajar, matahari dan arah mata angin. 

Bagaimanapun, jika ada orang boleh dipercayai, maka petunjuknya boleh juga diikuti. Ketika masuk waktu solat semasa berada di atas kenderaan seperti kereta api, orang Islam boleh melakukan solat tanpa menghadap kiblat. 

Mihrab 
Mihrab ialah bahagian bangunan masjid yang menentukan arah kiblat. Mihrab berfungsi sebagai tempat imam memimpin solat jemaah. Masjid terikat dengan kiblat dan mempengaruhi kedudukan, corak dan struktur mihrab. Perkembangan seni bina Islam banyak mengilhamkan pembangunan mihrab yang hebat. 

Biasanya terdapat sebuah mimbar di mirhab yang menjadi bahagian utama keindahan seni bina dalaman masjid. 

Ujian ketaatan 
Perintah pemindahan kiblat dari al-Sakhrah di Baitulmaqdis ke Kaabah di Mekah membuatkan orang Yahudi tertanya-tanya, "Apakah yang menyebabkan umat Islam mengubah kiblat ibadatnya?" Pemindahan kiblat tersebut bertujuan antara lain untuk menguji ketaatan umat Islam dan untuk menunjukkan kehendak dan kekuasaan Allah SWT. 

Timur dengan barat
Kiblat bagi orang yang tidak melihat Kaabah ialah arah Kaabah, sesuai dengan sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: "Arah antara timur dengan barat adalah kiblat. Bahkan, kiblat Kaabah tidak terbatas pada timur dan barat saja, tetapi termasuk juga udaranya, baik ke atas mahupun ke bawah." Oleh sebab itu, orang yang berada di angkasa atau di dasar laut, umpamanya, boleh melakukan solat.


Comments