Ubati strok dengan Al-Quran

Soalan

Assalamualaikum Tuan Haji. Dua minggu lalu ayah saya diserang angin ahmar. Doktor menerangkan berlaku pendarahan besar di dalam otak ayah. Kini ayah terlantar di hospital, lumpuh sebelah kanan badan. Ayah tidak boleh bercakap dan bergantung kepada kami untuk mengurus diri. Saya meminta tolong Tuan Haji menerangkan rawatan al-Quran untuk angin ahmar. Terima kasih.
Khairul, Permatang Pauh

Jawapan

Penyakit angin ahmar atau strok berlaku apabila bekalan darah ke sebahagian otak terputus tiba-tiba. Otak memerlukan bekalan oksigen berterusan daripada darah. Jika bekalan darah terputus, sel otak yang terjejas akan rosak atau mati.

Kadangkala strok dipanggil 'serangan otak'. Terdapat dua jenis strok iaitu Strok Iskemia dan Strok Haemoragik.

Strok Iskemia berlaku bila terdapat darah beku di dalam saluran darah di otak menyebabkan tersumbat. Iskemia bermaksud pengurangan bekalan darah dan oksigen ke bahagian badan tertentu.

Dalam setengah penyakit strok, darah beku boleh terbentuk dalam saluran darah otak sendiri dan menyebabkan strok iskemia. Dalam kes strok iskemia lain, darah beku boleh terbentuk di luar otak dan bergerak ke otak seterusnya menyumbat saluran darah otak.

Strok Haemoragik (pendarahan) berlaku apabila saluran darah otak lemah, rosak dan pecah menyebabkan pendarahan dalam otak.

Terdapat dua jenis pendarahan otak iaitu Pendarahan Intracerebral dan Pendarahan Subarachnoid.

Pendarahan Intracerebral berlaku apabila saluran darah pecah di dalam otak kemudian mengalir ke dalam otak menyebabkan bekalan darah ke sel otak terputus dan sel otak akan rosak atau mati. Pendarahan jenis ini berlaku dalam satu daripada 10 kes strok.

Pendarahan Subarachnoid berlaku jika saluran darah pecah di ruang antara otak dan tengkorak. Ruang tersebut biasanya diisi cecair otak - cerebrospinal. Setiap satu daripada 20 kes disebabkan jenis ini.

Strok di Malaysia Menurut Persatuan Strok Kebangsaan Malaysia (NASAM), setiap seorang daripada enam orang di Malaysia akan diserang strok.

Setiap tahun dianggarkan 40,000 rakyat Malaysia mengalami strok. Strok adalah punca kematian ketiga terbesar selepas sakit jantung dan kanser. Strok menyerang sesiapa sahaja.

Punca Punca berisiko tinggi berlaku strok terbahagi kepada dua tidak boleh diubah dan boleh diubah.

Risiko tidak boleh diubah:

* Umur

* Genetik

* Jantina

* Sejarah serangan jantung atau strok Risiko boleh diubah:

* Tekanan darah tinggi

* Merokok

* Kencing manis

* Kolesterol

* Obesiti

Simptom serangan strok Setiap fungsi tubuh yang berbeza dikawal oleh bahagian otak berbeza. Oleh itu, setiap simptom strok berbeza mengikut bahagian otak terjejas dan saiz otak yang rosak.

Satu atau lebih simptom tiba-tiba:

1. Tangan kaki lemah atau lumpuh.

2. Sebelah muka lemah. Air liur sentiasa

meleleh tanpa kawalan.

3. Masalah kestabilan, koordinasi badan,

percakapan, penglihatan, sukar menelan.

4. Rasa pening atau sakit kepala

5. Kebas di sebahagian daripada badan

6. Pengsan atau menjadi keliru

Kesan jangka panjang Jenis dan kadar kelumpuhan disebabkan serangan strok berbeza mengikut kadar kerosakan otak selepas serangan strok.

Serangan teruk boleh menyebabkan kematian. Jenis kesan jangka panjang serangan strok adalah seperti berikut:

1. Sebelah badan lemah.

2. Masalah kestabilan, koordinasi badan.

3. Masalah menelan.

4. Masalah percakapan dan komunikasi.

5. Masalah penglihatan.

Apa yang tersenarai di atas adalah contoh yang mungkin berlaku selepas serangan strok. Setiap strok berbeza dan kesan strok harus diteliti untuk setiap seorang pesakit.

Minggu terawal selepas strok, bengkak di sekeliling bahagian otak yang rosak akan kurang. Sebahagian simptom mungkin kurang atau hilang. Dengan rehabilitasi dan terapi, keadaan pesakit mungkin bertambah baik.

Rawatan moden Rawatan untuk strok melibatkan rawatan kecemasan sebaik sahaja serangan strok berlaku dan rawatan rehabilitasi atau fisioterapi selepas pesakit strok stabil. Pesakit strok yang mengalami simptom awal serangan harus dihantar ke wad kecemasan secepat mungkin.

Rawatan segera penting untuk mengelak kematian. Rawatan kecemasan awal boleh mengurangkan kerosakan otak dan meningkatkan kesembuhan.

Rawatan kecemasan melibatkan penggunaan ubatan dan/atau pembedahan akan mengeluarkan darah beku dari otak.

Rawatan rehabilitasi dilakukan selepas pesakit stabil untuk membantu mendapat kekuatan fizikal, mengembalikan keupayaan fungsi badan dan membolehkan pesakit berdikari.

Rawatan al-Quran Ayat al-Quran memiliki mukjizat membantu penyembuhan strok. Daripada pengalaman kami di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah mengubati pesakit strok, ramai mengalami perubahan sangat positif selepas rawatan menggunakan ayat suci al-Quran.

Kami mendapati ada unsur gangguan makhluk halus menyebabkan serangan strok dalam sebahagian pesakit.

Sejenis jin digelar Jin Ahmar masuk dalam badan pesakit dan merosakkan saluran darah dalam otak menyebabkan pendarahan dan mengakibatkan pesakit mendapat strok.

Perubatan moden mengakui strok disebabkan pendarahan dalam otak, tetapi sukar menerangkan puncanya. Kita selalu mendengar pesakit muda, tiada sejarah keluarga, sihat, tiada darah tinggi atau diabetes tetapi mendapat strok.

Dalam kes demikian selalunya mereka diganggu Jin Ahmar dan perlu dikeluarkan daripada badan pesakit sebelum dirawat.

Setiap pesakit strok yang datang berubat, akan diperiksa jika ada gangguan Jin Ahmar. Selalunya jin Ahmar berada di dalam otak atau tulang belakang pesakit. Perawat Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah dengan izin Allah mengeluarkannya jika ada dan memberikan ayat berikut untuk diamalkan disertai doa kepada Allah memohon penyembuhan. InsyaAllah ayat al-Quran yang dibaca pesakit dapat merangsang sel otak yang rosak akibat strok berfungsi semula.

Ayat-ayat tersebut adalah:

Surah Al-Israa' ayat 40 hingga 55

Surah An-Nahli ayat 81 hingga 89

Surah Az-Zumaar ayat 24 hingga 37

Surah An-Nahli ayat 35 hingga 47

Cara amalan ialah, pesakit hendaklah membaca surah pertama tiga kali waktu malam dan surah kedua tiga kali pada siang. Pembacaan diamalkan setiap hari selama tiga hingga empat minggu.

Selepas membaca tiga kali, pesakit perlu memohon doa penyembuhan kepada Allah.

Pesakit harus ingat penyembuhan hanya dengan izin Allah. Kita jangan berputus asa dan sentiasa berdoa kepada Allah. Seperti di dalam surah Yusuf ayat 12, Allah berfirman; "….dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah melainkan kaum yg kafir."

Penutup Kita sebagai umat Islam yang diberi nikmat Islam dan iman harus berpegang teguh, beramal dan yakin mukjizat al-Quran.

Keistimewaan al-Quran pasti membantu setiap insan di dalam kehidupan dunia yang silih berganti antara bahagia dan sengsara.

Apabila kita atau insan tersayang ditimpa strok, kita kena kuat dan tabah. Kadangkala keluarga pesakit tertekan menjaga pesakit strok. Ramai keluarga pesakit mengadu susahnya menjaga pesakit strok.

Bersabar, berikhtiar dan percaya semua dugaan dan ujian Allah ada hikmahnya. Antara cara memperkuatkan rohani dan hati apabila dilanda penyakit hati akibat musibah strok adalah membaca al-Quran setiap hari.

Penawar rohani paling mujarab sudah lama diberi kepada manusia, iaitu al-Quran. Allah berfirman di dalam surah Yunus ayat 57: "Wahai manusia, telah datang kepada kamu al-Quran yang menjadi pengajaran daripada Tuhanmu dan penyembuhan bagi penyakit yang ada dalam dadamu (jiwa) dan petunjuk serta rahmat bagi orang yang beriman."

Bacalah surat istimewa daripada Allah kepada hamba-Nya setiap hari. Jadikan amalan ini rutin, semoga kita mendapat keberkatan.

*Sumber dari al-bakriah.com.my

Comments