Thursday, August 7, 2014

Gugur Iman Kerana Makanan

REALITI yang berlaku, pemilihan makanan dilihat merupakan salah satu perkara yang sering dipandang remeh oleh segelintir umat Islam.

Malah, ramai yang beranggapan pengambilan makanan dalam kehidupan adalah hanya bertujuan bagi perkembangan fizikal semata-mata.

Hakikatnya, pemakanan bukan sahaja mempengaruhi rutin harian manusia daripada segi jasmani dan rohani, tetapi turut mempengaruhi pembentukan iman setiap umat Islam.

Ini kerana, pengambilan makanan yang tidak terkawal dan daripada unsur haram dikhuatiri boleh menyebabkan gugurnya iman seseorang Muslim jika tidak dibatasi.

Kesannya, pelbagai gejala sosial dan perbuatan maksiat terus berleluasa dalam kalangan masyarakat dan umat Islam semakin lalai daripada melakukan perintah Allah SWT.

Perkara itu ditegaskan oleh Pensyarah Jabatan Syariah Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Muhammad Adib Samsudin ketika ditemui Mega, baru-baru ini.

Beliau berkata, tenaga yang dihasilkan daripada pemakanan yang diambil memberi pengaruh terhadap psikologi manusia, sekali gus menentukan keperibadian individu tersebut.

"Pemilihan dalam pemakanan merupakan salah satu faktor yang boleh mempengaruhi iman seseorang Islam. Jika makanan yang diambil adalah daripada unsur yang baik dan terkawal maka ia akan mendorongnya untuk melakukan kebaikan dan segala perintah Allah SWT.

"Sebaliknya, makanan yang diambil secara berlebih-lebihan, tidak terkawal dan juga daripada sumber atau unsur yang haram, ia akan merosakkan hati dan mendorong untuk melakukan maksiat dan larangan Allah SWT.

"Kesannya, selain menjejaskan kesihatan tubuh badan, lebih membimbangkan iman juga akan gugur daripada dalam diri individu tersebut jika dibiar berterusan," katanya.

Pemakanan sunah

Justeru, beliau berkata, intipati daripada al-Quran dan sunnah mengenai pengambilan makanan perlu dijadikan amalan dalam gaya hidup manusia agar kekal sihat dalam masa sama meningkatkan keimanan.

Ia bertepatan dengan firman Allah SWT bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda yang baik-baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepada-Nya. Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang-binatang yang disembelih tidak kerana Allah; maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tidaklah ia berdosa. Sesungguhnya, Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani. (al-Baqarah:171-172)

Muhammad berkata, kelebihan amalan pemakanan menurut al-Quran dan sunah juga telah terbukti menurut kajian sains dan diakui pengkaji barat mempunyai pelbagai khasiat untuk mengekalkan kesihatan mahupun merawat penyakit.

"Islam adalah agama yang menyeluruh. Islam telah memberi penjelasan mengenai penjagaan kesihatan melalui pengambilan makanan menerusi al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW.

"Sebagai contoh makanan sunah yang diamalkan oleh Rasulullah SAW seperti kurma, madu, habbatus sauda, gandum, air zam-zam dan banyak lagi ternyata mempunyai pelbagai khasiat. Perkara itu turut diakui menerusi kajian-kajian sains yang dijalankan.

"Pesanan Rasulullah SAW mengenai makan apabila lapar dan berhenti sebelum kenyang juga penting untuk diamalkan bagi mengawal proses penghadaman dan mengelakkan perut daripada bekerja terlalu keras,"jelasnya.

Oleh itu katanya, pengambilan pemakanan sihat dan seimbang mampu memelihara tubuh badan daripada sebarang penyakit memudaratkan sekali gus memberi impak positif terhadap rutin harian, pekerjaan dan juga melaksanakan tanggungjawab terhadap Allah SWT.

Walau bagaimanapun tambahnya, senaman dan aktiviti fizikal juga perlu dilakukan sebagai alat tambahan bagi menjamin kesihatan yang lebih berkualiti.

"Dengan bersenam boleh mengurangkan stres. Ia apabila badan ‘diarahkan’ untuk menggunakan gula dan lemak yang telah disediakan oleh badan untuk menghadapi situasi stres. Kandungan gula dan lemak larut dalam darah seterusnya berhasil mengelakkan enapan lemak dan kolesterol dalam salur darah.

"Selain itu, senaman fizikal juga menjadikan kita periang dan ceria sepanjang hari apabila protein dalam darah (preopiomelanocortin) ditukarkan oleh badan kepada endorphin, iaitu sejenis molekul yang bertindak sebagai bahan yang membawa ketenangan dalam fikiran dan jiwa seseorang setelah melakukan aktiviti senaman.

"Ketika tubuh terdedah di bawah cahaya matahari dapat merangsang sejenis reseptor di dalam mata yang mengesan cahaya ultra ungu (UV light). Reseptor ini menghantar impuls ke bahagian otak bernama suprachiasmatic nuclei, dan seterusnya ke bahagian otak yang lain. Apabila otak mengesan kewujudan cahaya ultra ungu ini, otak akan menghasilkan sejenis hormon bernama serotonin yang dapat membawa rasa gembira ke dalam minda seseorang," jelasnya.

*Sumber dari MOHD. SHAH CHE AHMAD|www.mukmin.com.my

0 Responses to “Gugur Iman Kerana Makanan”




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
p/s: Jika ada diantara blogger yang ingin bertukar pautan link dengan detikislam.blogspot.com, boleh lah pm di facebook admin.

Juga kepada blogger-blogger yang telah membuat pautan link detikislam di blog masing-masing tetapi admin masih tidak meletakkan pautan link blog saudara saudari, minta pm juga di facebook admin. Sekian, Terima Kasih

Blog's stats Jumaat 30.12.2011 bersamaan 4 Safar 1433

Back To Top
Profile Picture
©1433 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami. Anda digalakkan untuk memaparkan sumber asal bahan tersebut.
E-mel :@gmail.comatau Facebook :www.facebook.com/blogdetikislam