Kebanyakan Penghuni Syurga Dan Penghuni Neraka


"Aku telah meninjau syurga dan aku dapati kebanyakan penghuninya ialah kaum miskin, dan aku juga meninjau neraka dan aku dapati kebanyakannya penghuninya ialah kaum wanita ." 

Diriwayatkan oleh al-Bukhari.

Tujuannya:

Rasulullah s.a.w telah diperlihatkan Allah gambaran syurga dan neraka, dan ia dapati bahawa penghuni syurga yang paling ramai adalah terdiri dari golongan orang-orang miskin atau orang-orang yang tidak berharta, sedangkan penghuni neraka yang paling ramai adalah terdiri daripada kaum wanita. Jika hadis ini ditilik dari permukaannya yang lahir sahaja tentulah timbul kemusykilan- kemusykilan tertentu apakah Islam memandang kemiskinan itu sebagai satu kelebihan dan kekayaan sebagai satu penghalang yang boleh menjauhkan seseorang itu dari syurga ? Apakah istilah memandang rendah kepada kaum wanita hingga kebanyakkan mereka menjadi penghuni neraka ? Apakah kaum wanita lebih banyak melakukan maksiat dari kaum lelaki ?

Untuk memahami maksud yang sebenar dari hadis ini perlulah dirujukkan kepada nas-nas lain yang bersangkutan dengan pandangan umum Islam terhadap kekayaan dan kemiskinan, juga pandangan umum Islam terhadap kaum lelaki dan kaum wanita.

Menurut Islam merupakan nikmat dan rahmat yang dikurniai Allah kepada manusia, kerana itulah memohon " rezeki yang luas " merupakan isi utama doa-doa yang diajar oleh Rasulullah s.a.w kepada umatnya termasuk doa " " yang dibaca berkali-kali setiap rakaat sembahyang, tetapi kekayaan itu sendiri bukanlah merupakan satu kelebihan kecuali ia dibelanjakan kepada jalan Allah, sedangkan kemiskinan pula menurut pandangan Islam merupakan cabaran dan ujian terhadap ketabahan dan kesabaran seseorang mukmin, kerana itu kemiskinan itu sendiri bukan sekali-kali merupakan kelebihan yang secara automatis melayakan seseorang mukmin untuk menduduki syurga, malah pastilah digandingkan dengan sikap sabar, takwa dan amalan-amalan yang soleh.

Bertolak dari pengertian ini ternyata bahawa yang dimaksudkan dengan "orang-orang yang miskin " yang disebut oleh Rasulullah s.a.w itu ialah orang-orang miskin yang soleh dan bertaqwa bukanlah semata-mata orang miskin, kerana kemiskinan semata-mata kadang-kadang merupakan satu bala yang boleh membawa seseorang kepada kekufuran dan kejahatan. Apabila tekanan kemiskinan itu tidak dapat disabari oleh seseorang ia mungkin menjadi manuisa yang berkecil hati dan bersikap membantah terhadap Allah dan ini bukan sahaja menjerumuskannya ke dalam kekufuran, malah mencetuskan dalam hatinya perasaan hasad dengki dan dendam kesumat terhadap manusia sekelilingnya yang lebih bernasib baik darinya, dan akibatnya ia mungkin terlibat dalam perlakuan - perlakuan jenayah dan kekejaman-kekejaman untuk meluahkan dendam. Inilah maksud sabda Rasulullah s.a.w :

" Kemiskinan itu hampir-hampir membawa seseorang itu kepada kekufuran " 

Kerana itu, pada hemat kami, tidaklah wajar jika ada pihak-pihak yang tertentu mahu menjadikan hadis ( 29 ) ini sebagai alasan bahawa Islam menggalakan umatnya supaya menjadi miskin atau memandang kemiskinan itu sebagai satu kelebihan yang melayakan seseorang itu mewarisi syurga di Akhirat. Al- Quran dengan tegasnya menetapkan bahawa syurga itu adalah dicapai dengan taqwa dan amalan-amalan yang soleh bukannya dicapai dengan semata kemiskinan firman Allah Taala :

" Itulah syurga yang Kami warisi dengan kelebihan amalan-amalan kamu." 

Al- 'Araf ( 43 ).
Dan firman-Nya lagi :

" Itulah syurga yang Kami warisikannya kepada orang-orang yang bertaqwa di antara hamba-hamba Kami." Maryam ( 63 )

Sifat kehidupan seseorang muslim yang digariskan Allah adalah penuh dengan kegiatan - kegiatan amalan ibadat dan kebajikan yang memerlukan kepada kewangan yang banyak seperti zakat, ibadat haji, berjihad menegakkan agama Allah, menolong fakir miskin, kaum kerabat, jiran tetangga menyediakan mas kahwin, menanggung nafkah isteri dan anak pinak, mengadakan kenduri akikah, berkorban di hari raya, berderma untuk sabilillah dan sebagainya dari ibadat-ibadat kebajikan yang bertunjangkan kepada kewangan. Di dalam al-Quran dan As- Sunah penuh denga anjuran-anjuran agar setiap orang muslim yang berada supaya menginfaq atau membelanjakan harta mereka ke jalan kebajikan dan itulah perlaburan hakiki untuk masa depan hari akhirat dan itulah keuntungan abadi yang disediakan Allah. Firman Allah :

" Orang-orang yang menyimpan emas dan perak, sedangkan mereka tidak membelanjakannya ke jalan Allah, maka sampaikan berita kepada mereka bahawa mereka akan mendapat keseksaan yang pedih ." At-Taubat ( 34 )

" Dan belanjakan harta bendamu pada jalan Allah dan janganlah kamu campakkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan, berbuatlah kebaikan kerana Allah amat menyayangi orang-orang yang berbuat kebaikan." Al-Baqarah ( 195 )

" Sesungguhnya orang-orang mukmin yang sebenarnya orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Rasul - Nya, kemudian mereka tidak ragu-ragu dan mereka berjihad dengan harta benda dan jiwa raga mereka ke jalan Allah, merekalah orang-orang yang benar-benar beriman." Al- Hujurat ( 15 ).

Bertolak dari hakikat ini ternyatalah bahawa "orang- orang yang miskin ," yang terutama yang dimaksudkan oleh hadis itu ialah orang-orang yang menjadi miskin sebagai akibat dari penglibatan mereka di dalam kegiatan-kegiatan infaq dan jihad fisabilillah, bukannya semata - mata orang miskin, apatah lagi mereka yang miskin akibat malas dan kurang berusaha.

Kerana itu Ibn Battal dalam kitab " al- Fath " dengan tegas menyarankan bahawa kemasukan ramai orang-orang miskin ke dalam syurga itu bukanlah kerana kemiskinannya, malah kerana kesolehan di samping kemiskinan, sebab orang yang miskin yang tidak soleh itu tidak mempunyai apa-apa kelebihan sementara al- Alamah al- Syeikh Mansyur Ali Nasar berkata dalam kitabnya " at- Taaj". Kelebihan orang-orang miskin ( yang banyak masuk syurga ) itu bukanlah kerana kemiskinan, malah kerana kesabaran, taqwa dan amalan-amalan mereka yang soleh yang biasanya menyebabkan mereka menjadi miskin.

Apa yang dikatakan oleh al- Syeikh Mansyur itu memang merupakan satu kenyataan yang lumrah dalam kehidupan pemimpin-pemimpin, pejuang-pejuang, ' ulama'- 'ulama' dan para solehin Islam. Mereka menjadi miskin bukanlah kerana kurang usaha tetapi kerana mreka sentiasa mengorbankan harta benda mereka ke jalan Allah dan kerana mereka menumpu sepenuh masa mereka kepada kegiatan dakwah dan jihad fisabilillah, dan seterusnya kerana mereka lebih mementingkan kebajikan orang lain dari kebajikan diri mereka sendiri.

Oleh itu jika terdapat hadis-hadis yang lain yang pada lahirnya seolah-olah memuji atau memandang tinggi kepada kemiskinan, haruslah diruju'kan kepada hakikat kemiskinan yang terpuji yang telah dijelaskan tadi. Jika tidak, maka hadis-hadis itu akan bertentangan dengan hadis - hadis dan ayat-ayat al-Qur'an yang terang menyarankan kelebihan kekayaan dan kelebihan infaq fisabilillah.

Mengapa orang-orang kaya begitu ramai memasuki neraka? Jawabnya kerana kebanyakan mereka telah menyalahgunakan kekayaan itu di dalam kegiatan-kegiatan maksiat yang dilaknat Allah dan kerana mereka telah ditimpa oleh penyakit-penyakit kekayaan iaitu tamak dan haloba, penting diri, bakhil, takbur, lupa daratan, menindas kaum miskin, tidak memperdulikan halal haram dan meninggalkan infaq fisabilillah.

Tegasnya orang-orang kaya yang ramai memasuki neraka bukanlah kerana kekayaan, malah kerana penyelewengan dan kefasiqan hidup mereka yang dapat dilihat dimana-mana masyarakat merekalah saudagar-saudagar yang memperniagakan segala macam maksiat, merekalah perintis-perintis hiburan, permainan dan pertunjukkan yang haram dan merekalah pendorong dan penggalak di belakang kefasiqan-kefasiqan masyarakat. Mereka menggunakan harta mereka untuk merosak dan membeli dhamir orang-orang yang baik untuk meluluskan maksud-maksud mereka yang jahat, malah mereka menggunakan pengaruh harta mereka untuk memaksa kerajaan untuk melindungi kepentingan-kepentingan mereka.

Kerana tindak-tanduk mereka yang tidak jujur itulah menyebabkan perjalanan mereka ke syurga di halangi oleh berbagai-bagai proses pemeriksaan dan hisab yang menyeksakan mereka. Tersebut dalam sebuah Hadis lain yang seakan-akan Hadis ( 92 ):

Dari Usamah bin Zaid r.a, Rasulullah s.a.w telah bersabda " Aku berdiri di pintu syurga, tiba-tiba aku melihat kebanyakan orang yang memasukinya ialah orang-orang miskin, sedangkan hartawan-hartawan telah ditahan, melainkan penghuni-penghuni neraka mereka terus diperintah supaya di humbankan ke dalam nereka, dan aku berdiri di pintu neraka tiba-tiba aku melihat kebanyakan orang memasuki neraka adalah kaum wanita." 

Diriwayatkan oleh al- Bukhari dan Muslim.

Menurut al - A'lamah al- Syeikh Mansyur maksud " hartawan-hartawan telah ditahan " ialah orang-orang kaya dan pembesar - pembesar di dunia adalah di tahan untuk menjalani proses pemeriksaan dan hisab, siapa di antara mereka yang di dapati melakukan jenayah, kufur, penyelewengan, dan kejahatan-kejahatan maksiat akan di masukkan ke dalam neraka.

Kelewatan para hartawan yang menyeleweng dari memasuki syurga telah di jelaskan oleh sebuah Hadis yang lain :

Dari Abi Hurairah r.a Nabi Muhammad s.a.w telah bersabda : "Orang-orang Islam yang miskin dapat memasuki syurga sebelum orang-orang kaya terdahulu selama setengah hari ( waktu akhirat ) bersamaan 500 tahun ( waktu dunia ). "

Mengapa kebanyakan penghuni neraka terdiri daripada kaum wanita ?

Sebabnya sudah tentu bukan kerana mereka jenis wanita.

Pada prinsipnya kaum lelaki dan wanita sama saja di sisi Allah : di sana tiada sebarang diskriminasi pahala dan dosa dan dilandaskan di atas jenis. Siapa yang lebih bertaqwa dialah yang lebih tinggi di sisi Allah. Oleh itu Hadis ini sama sekali tidak bertujuan untuk menyarankan bahawa kaum wanita itu lebih rendah darjatnya dari kaum lelaki sebagaimana yang mungkin difaham dari tinjauan sekilas.

Mungkin sebabnya terletak pada faktor jumlah kaum wanita di dunia adalah melebihi jumlah kaum lelaki sebagaimana yang dibuktikan oleh perangkaan penduduk dunia dari dahulu hingga sekarang, oleh itu tidaklah menakjubkan jika bilangan mereka yang menjadi penghuni neraka adalah lebih besar dari kaum lelaki, apatah lagi jika ditinjau bahawa jumlah manusia kafir dan masyarakat di dunia di sepanjang zaman adalah jauh lebih ramai dari manusia mukmin. Hakikat ini telah dikuatkan pula oleh kenyataan Hadis bahawa kaum perempuan adalah lebih ramai dari kaum lelaki.

Mungkin sebabnya yang hakiki terletak pada penyelewengan dan penyalahgunaan pengaruh dan sifat-sifat kewanitaan dan akibatnya menyebabkan kaum lelaki terjerumus di dalam perangkap-perangkap kejahatan, kefasiqan dan jenayah. Ahli jiwa sepakat mengakui bahawa pengaruh seks pada wanita merupakan pengaruh yang amat menjahanam di dalam kehidupan lelaki. Al - Qur'an sendiri telah meletakkan kaum wanita pada barisan pertama dalam kumpulan pendorong-pendorong nafsu keinginan manusia firman- Nya :

" Telah dijadikan kesukaan pada manusia menyintai berbagai-bagai nafsu keinginan iaitu wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari emas sawah dan ladang. Itulah kenikmatan hidup di dunia, sedangkan di sisi Allah pula terdapat syurga tempat kembali yang amat indah " 

Al - 'Im ran ( 14 )

Dari situ ternyatalah bahawa wanita merupakan ujian Allah yang paling bahaya dalam kehidupan lelaki di dunia. Ini di sebabkan kerana tabiat lelaki itu mencari wanita, sedangkan tabiat wanita menunggu dan memancing dengan umpan-umpan yang menjadikan lelaki lupa daratan dan sanggup melakukan apa saja untuk mendapatkan wanita, kerana itu wanitalah lebih mempersonakan lelaki dari lelaki mempersonakan wanita. Hakikat ini telah di jelaskan oleh Rasulullah s.a.w :

" Aku tidak tinggal selepasku ujian lebih bahaya kepada lelaki melainkan wanita." 

Muttafaqa ' Alaih

Ujar Dr. Muhammad Said Ramadhan al-Buti " Wanita mampu, jika mahu, untuk menjadikan dirinya satu bahaya yang dahsyat kepada lelaki sehingga tidak dapat dihindarinya, dan ia juga boleh menjadikannya dirinya selaku yang boleh membawa lelaki ke jalan yang selamat dan sentosa. " 

" Beberapa banyak umat yang agung runtuh akibat pergaulan bebas lepas dan kemusnahan akhlak, dan faktor pokoknya ialah wanita, kerana itu tugas Islam yang paling besar yang di letakkan pada bahu wanita ialah supaya ia menyembunyikan senjata pesona atau seksnya di depan lelaki seberapa yang terdaya olehnnya agar mereka tidak terjerumus ke dalam malapetaka."

" Sebab yang membawa wanita menjadi penghuni neraka yang terbanyak seperti yang tersebut oleh hadis yang soheh itu ialah adalah berbagai-bagai faktor yang terpentingnya ialah mereka tidak mematuhi dengan penuh taqwa dalam melaksanakan tugas agung (menyembunyikan senjata seksnya ) yang diletakkan di atas bahu mereka. "

*sumber blogtokwan.blogspot.com

Comments