Inilah Orang Pertama yang Diberi Pakaian oleh Allah


KETIKA seseorang mengakhiri masa hidupnya di dunia dan kembali kepada Allah SWT, kita tahu bahawa manusia itu hanya menggunakan satu kain polos berwarna putih. Tapi, kita tidak mengetahui pakaian seperti apa yang digunakan manusia ketika telah menghadap kepada Tuhan-Nya.

Telah disebutkan dalam beberapa riwayat bahawa Allah mengumpulkan hamba-hamba-Nya pada hari kiamat dalam keadaan telanjang kaki, tanpa busana, dan tidak dikhitan, sebagaimana diterangkan dalam hadis-hadis sahih, kemudian memberi mereka pakaian: orang-orang soleh mendapat pakaian yang mulia dan orang-orang jahat mendapat pakaian bergetah, pakaian karatan, serta pakaian buruk dan menjijikkan lain.

Hamba Allah yang pertama berpakaian adalah Nabi Ibrahim, sang kekasih Allah. Dalam sahih al-Bukhari diriwayatkan dari Ibn 'Abbas dari Nabi Muhammad SAW bahawa beliau bersabda, "Makhluk pertama yang berpakaian pada hari kiamat ialah Ibrahim al-Khalil."

Ibn Hajar berkata:

Al-Baihaqi meriwayatkan hadis seperti itu dari jalur Ibn 'Abbas dan menambah, "Dan orang pertama yang memakai pakaian dari syurga adalah Ibrahim. Ia memakai Hullah (pakaian yang menutup seluruh badan) dari syurga. Dan sebuah kerusi didatangkan dan dilempar dari sebelah kanan 'Arasy dan diberikan kepadaku, lalu aku memakai Hullah dari syurga yang tidak diperuntukkan bagi orang lain. "

Para ulama menyebutkan bahawa didahulukan Ibrahim atas yang lain dalam pakaian pada hari kiamat adalah kerana di antara semua manusia dialah yang paling takut kepada Allah. Maka, dia akan diberi pakaian sebagai penghilang rasa takut itu, agar hatinya tenang.

Selain itu, mungkin juga, sebagaimana disebutkan dalam hadis, kerana dia adalah orang pertama yang memakai seluar ketika solat, kerana bimbang kemaluannya menyentuh tempat shalatnya; ia melaksanakan apa diperintahkan kepadanya, maka ia dibalas dengan menjadi orang pertama yang menutup aurat pada hari kiamat.

Kemungkinan yang lain lagi adalah kerana orang-orang yang melemparkannya ke dalam api telah menelanjangi dan melucutkan pakaiannya di hadapan orang banyak, seperti yang biasa dilakukan terhadap orang yang ingin dibunuh. Sehingga, ia dibalas sebagai orang pertama yang berpakaian pada hari kiamat di muka umum. Alasan yang terakhir ini adalah yang terbaik. (Al-Qurtubi, at-Tadzkirah, h. 209). [Sumber: Ensiklopedia Kiamat / Karya: Dr. Umar Sulayman al-Asykar / Penerbit: Serambi]

Comments