Keajaiban Kaabah beri kesan positif

Dewasa ini tidak dapat dinafikan impak atau kuasa dimiliki teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) seperti Facebook dan laman sosial lainnya terhadap pemikiran masyarakat. Saban hari pelayar laman sesawang dan tuan punya Facebook akan tersentuh dan disentuh pelbagai berita serta maklumat.

Salah satu contoh maklumat yang telah menarik perhatian ramai khalayak Facebook ialah 15 rahsia keajaiban Kaabah. Antara ciri-ciri keajaiban Kaabah termasuk ia terletak di Makkah yang berada di kawasan graviti paling tinggi

Graviti yang tinggi menarik bunyi-bunyi (dalam bentuk gelombang/tenaga) yang tidak dapat didengar, tetapi mempunyai kesan positif kepada manusia. Graviti tinggi mempunyai kesan ke atas sistem imun badan dan berinteraksi dengan niat yang dibuat dalam hati untuk memberi kekuatan dalaman.

Pergerakan mengelilingi Kaabah mengikut arah berlawanan gerakan jarum jam memberikan tenaga hayat secara semula jadi daripada alam semesta. Yang nyata, ciri-ciri keajaiban Kaabah digambarkan melalui konsep saintifik.

Dari sudut sainsnya, manusia memang mempunyai keupayaan mendengar gelombang bunyi yang terletak dalam bahagian tertentu keseluruhan julat gelombang bunyi yang ada di dunia ini. Ada pelbagai bunyi yang tidak dapat ditangkap telinga manusia kerana Allah SWT menjadikan keadaan sedemikian.

Namun, antara bunyi yang tidak dapat didengar oleh manusia ini ada yang dapat didengar oleh haiwan tertentu dan bahagian atau anggota badan manusia tanpa kita menyedarinya.

Peristiwa Israk dan Mikraj

Maklumat ciri-ciri keajaiban Kaabah menjelaskan bagaimana antara bunyi-bunyian ini ada yang mempunyai impak positif kepada perasaan dan pemikiran manusia seperti pergerakan tawaf mempunyai kesan baik terhadap kesihatan fizikal dan mental manusia.

Malangnya tidak banyak saintis yang memberi maklum balas bagi menjawab persoalan mengenai kelebihan ciri-ciri keajaiban Kaabah. Bagi mereka yang selesa dengan berita kemukjizatan Nabi Muhammad SAW dan al-Quran, keajaiban Kaabah diterima dengan keraguan minimum.

Ini kerana dalam pandangan jagat Islami mereka, perkara luar biasa seperti mukjizat nabi-nabi sememangnya sebahagian daripada landskap keimanan orang Islam dan hal itu diceritakan dalam al-Quran.

Peristiwa Israk dan Mikraj yang juga satu keajaiban Rasulullah SAW yang menjadi sebahagian ilmu asas (pernah dihuraikan secara saintifik) umat Islam. Namun, masih ada yang berminat untuk memahami keajaiban Kaabah dari sudut dapat dijelas serta difahami secara rasional.

Bukti saintifik

Secara mudahnya sains cuba memahami alam melalui bidang seperti fizik (yang mengkaji graviti dan gelombang cahaya dan bunyi), kimia (contohnya sifat dan zat-zat jirim seperti kandungan mineral yang luar biasa dalam air zamzam) dan biologi (yang menjelaskan fenomena pengaliran darah dan kesannya pada kesihatan fizikal serta emosi manusia).

Bukti saintifik boleh dilihat melalui penggunaan alat-alat (teknologi) dan kaedah uji kaji yang boleh dikongsi oleh semua yang berminat.

Persoalannya, kenapa golongan ini memerlukan pengesahan saintifik kepada ciri-ciri keajaiban Kaabah? Mungkin dua sebab, pertama, jiwa yang mengimani Maha Pencipta dan Rasulnya akan sentiasa merindui penyaksian apa yang dipercayainya.

Dalam konteks ciri-ciri keajaiban Kaabah ini, rumah Allah itu yang terletak di kota Makkah berkait erat dengan ibadat haji, di samping elemen penting lain seperti Hajar Aswad dan air zamzam.

Dari sudut saintifiknya, apabila muncul maklumat mengenai ciri-ciri keajaiban Kaabah itu, perlu ada inisiatif oleh umat Islam sendiri untuk menyiasat sama ada pernyataan yang dibuat jelas sumber maklumatnya serta kesahihan fakta dikemukakan.

Perlulah ada situasi yang mana saintis Muslim dan ulama bergabung tenaga serta saling membantu bagi membolehkan proses pengukuran ciri-ciri graviti istimewa yang disebut boleh dijalankan.

Bagi mereka masih tertanya-tanya, analisis umum yang dilakukan terhadap laporan ciri-ciri keajaiban Kaabah menunjukkan kebarangkalian yang baik, memandangkan ada rujukan boleh dijejaki untuk data sokongan.

Pada masa yang sama, keistimewaan Kaabah ini sepatutnya menyedarkan umat Islam luasnya serta banyak lagi kajian saintifik yang dilakukan saintis bukan Islam (tetapi yang tidak semestinya prejudis terhadap Islam) wujud dan boleh dirujuk.

Firman Allah SWT bermaksud: Al-Quran itu diturunkan oleh Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani - supaya Engkau memberi peringatan dan amaran kepada kaum yang datuk nenek mereka telah lama tidak diberikan peringatan dan amaran sebab itulah mereka lalai. (Surah Yaasin, ayat 5-6).

*Sumber dari al-bakriah.com.my/ suatuperjalananmaya.com

Comments