Cara Hidup Ibu-Bapa Ketika Anak Dalam Kandungan

Proses pendidikan mula berlaku ketika bayi masih berada dalam kandungan ibunya. Pendidikan pada peringkat ini lebih bercorak kerohanian, iaitu:

1. Bagi ibu-ibu yang mengandung digalakkan supaya memperbanyakkan bacaan Al-Qur'an terutama Surah Yusuf, Maryam, Luqman dan At Taubah.

2. Ibu hendaklah sentiasa berdoa kepada Allah Subhanahu Wata'ala agar anak yang bakal dilahirkan itu nanti menjadi seorang anak yang soleh, berilmu, beriman, bertaqwa dan berakhlak mulia.

3. Ibu bapa hendaklah mendapat rezeki daripada sumber yang halal supaya benih yang bakal dilahirkan itu nanti datang daripada darah daging yang halal.

4. Ibu hendaklah makan makanan yang berzat dan sentiasa menjaga kesihatan tubuh badannya. Kebersihan diri hendaklah diutamakan bagi menjamin kesihatan anak-anak dalam kandungan. Faktor kesihatan amat dititik beratkan oleh Islam sehingga Islam memberikan kelonggaran kepada ibu yang mengandung untuk berbuka puasa sekiranya merasakan puasa itu menjejaskan kesihatan diri dan anaknya.

5. Ketika mengandung, ibu perlulah menyesuaikan diri dengan perubahan-perubahan yang berlaku kepada dirinya. Pada waktu begini sememangnya keadaan ibu agak berbeza dari waktu-waktu biasa, terutamanya bagi ibu yang bakal melahirkan anak yang pertama.

*Sumber dari pelitabrunei.gov.bn Tajuk: Mendidik anak secara Islam

Comments