Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallammerupakan qudwah (ikutan) yang terbaik dalamhal ini. Dalam kitab-kitab hadits dan sirah, banyak riwayat yang menyatakan bahawa Baginda menggemari dan menganjurkan sukan-sukan yang berbentuk olahraga, pertahanan diri dan ketenteraan seperti berlumba lari, berenang, memanah, menunggang kuda, beradu senjata, dan sebagainya.
Sungguhpun demikian, Islam tidak sekali-kali membiarkan umatnya terbiar begitu sahaja untuk melakukan sesuatu perkara tanpa memberikan sebarang bimbingan, garispandu atau batasan. Maka kerana itulah, tiap sesuatu itu ada batasannya yang perlu dijaga dan diperhatikan, termasuk juga dalam perkara sukan dan bersukan.
Walaupun bersukan itu pada dasarnya adalah harus, sama ada ia dilakukan atas dasar memelihara kesihatan atau sekadar mengisi masa lapang, namun ia boleh menjadi tertegah bahkan haram dalam keadaan-keadaan tertentu terutama jika ia bertentangan dengan hukum, ajaran, tatacara, syariat dan adab-adab Islam. Antara batasan yang sering dipandang ringan ketika bersukan ialah perintah menutup aurat.
Tidak Ada Keringanan Untuk Mendedahkan Aurat Ketika Bersukan
Aurat merupakan satu mahkota kehormatan tidak kira bagi perempuan mahupun lelaki. Dari itu ia wajib dijaga bukan sahaja ketika mengerjakan sembahyang, bahkan ia wajib dijaga pada sepanjang masa hatta dalam rumah sekalipun. Menjaga aurat itu sangat tinggi nilainya, sehinggakan apabila seseorang itu menutup aurat dengan sempurna, identitinya sebagai seorang Islam akan terserlah dan akan dipandang dengan penuh rasa mulia dan hormat. Sebagai contoh, jika kita terlihat seorang perempuan yang menutup auratnya dengan sempurna misalnya, maka perkara paling awal yang akan terdetik dalam hati kita ialah perempuan tersebut adalah seorang yang berugama Islam dan dia adalah seorang muslimah yang baik.
Apa dia aurat? Dari segi bahasa, aurat berasal daripada perkataan Arab yang bererti aib atau sesuatu yang memalukan.
Menurut istilah syara‘ pula, aurat ialah bahagian tubuh manusia yang wajib ditutup dan dilindungi daripada pandangan orang ramai. Aurat lelaki ialah di antara pusat dengan dua lutut. Sementara aurat perempuan pula ialah seluruh anggota tubuh badannya melainkan muka dan dua tapak tangan (luar dan dalam) sehingga dua pergelangan tangannya.
Dari definisi aurat itu sendiri dapat difahami bahawa mendedahkan aurat itu merupakan satu perbuatan yang mendatangkan aib dan memalukan. Jadi orang yang sihat perasaannya, sempurna akhlaknya dan waras akal fikirannya secara fitrah dan semulajadinya pasti akan menjaga auratnya dengan sempurna dan pasti akan segera menutupi auratnya yang terdedah itu dengan apa jua cara sekalipun.
Menurut syara‘, hukum menutup aurat itu adalah wajib, dan mendedahkannya pula adalah haram dengan nas al-Quran, hadits dan ijma‘ umat Islam dan merupakan satu dosa besar. Mendedahkan aurat menyebabkan orang itu sentiasa dalam laknat Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan sentiasa dalam dosa selagimana dia belum bertaubat, belum menyesali dan belum berniat untuk meninggalkan perbuatan tersebut.
Hendaklah diingat bahawa tidak ada kelonggaran untuk membuka aurat ketika bersukan. Alasan-alasan seperti panas, rimas, sukar membuat pergerakan dan sebagainya jika menutup aurat ketika bersukan tidak sekali-kali diterima oleh syara‘.
Dari itu, ketika bersukan hendaklah memakai pakaian yang bersesuaian, menutup aurat, tidak menjolok mata dan tidak menimbulkan fitnah.Perlu diingat dan ditekankan di sini bahawa pakaian yang jarang, nipis atau ketat sehingga menampakkan warna kulit atau susuk tubuh adalah ditegah dan tidak memadai walaupun pada zahirnya ia seolah-olah menutup bahagian aurat.
Tidak ada kelonggaran menurut syara‘ dalam hal menutup aurat ketika bersukan ini sungguhpun di antara sesama lelaki ataupunsesama perempuan. Abu Sa‘ed al-KhudriRadhiallahu ‘anhu berkata bahawa RasulullahShallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda:
Maksudnya : “Janganlah seorang lelakimemandang akan aurat seorang lelaki (yang lain) dan janganlah seorang perempuan (memandang) akan aurat seorang perempuan (yang lain).” (Hadits riwayat Imam Muslim)
Daripada Mu‘awiyah bin Haidah Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: “Jagalah auratmu kecuali dari isterimu atau hamba-hamba perempuan yang engkau miliki.” (Hadits riwayat Imam Abu Daud, at-Tirmidzi dan Ibnu Majah)
Selain memastikan aurat terjaga dengan sempurna, wajib juga menjaga syarat-syarat lain yang telah digariskan oleh syara’ dalam hal berpakaian seperti:
1. Tidak menyerupai pakaian lawan jenisnya.
2. Tidak menyerupai pakaian atau cara berpakaian orang kafir.Maksudnya di sini ialah apa-apa pakaian atau sesuatu yang dipakai oleh orang kafir sebagai cogan khas atau ciri pengenalan bagi mereka, contohnya di sini seperti ‘scapular’, iaitu sejenis potongan kain atau aksesori tertentu yang dipakai khusus oleh pengabdi ugama Kristian.
3. Tidak memakai pakaian yang mempunyai gambar, lambang atau unsur yang bertentangan dengan syariat Islam seperti lambang salib, minuman keras dan sebagainya.
4. Khusus bagi perempuan pula, jangan dia memakai pakaian yang mempunyai wangiwangian dan jangan pakaian itu berhias-hias kerana yang demikian itu akan menarik perhatian lelaki dan sekaligus mengundang fitnah.
5. Manakala bagi lelaki pula, jangan pakaiannya itu diperbuat daripada benang sutera. Dari itu, dengan sendirinya, apa saja jenis sukan yang mensyaratkan untuk memakai pakaian yang tidak memenuhi kehendak syara‘ apatah lagi bertentangan dengannya seperti sukan yang mewajibkan pesertanya memakai pakaian yang mendedahkan aurat atau mewajibkan pesertanya memakai pakaian yang mengandungi lambang salib dan sebagainya adalah wajib ditinggalkan.
Maka sebagai merealisasikan rasa taqwa dan takutkan Allah Subhanahu wa Ta‘ala, marilah kita menutup aurat dengan sempurna dan menghindarkan apa sahaja bentuk dan jenis pakaian yang melanggar aturan hukum syara‘ pada sepanjang masa termasuk ketika melakukan aktiviti sukan. Jangan hendaknya aktiviti sukan yang pada asalnya diharuskan oleh syara‘ itu menjadi satu aktiviti yang mendatangkan dosa akibat kealpaan kita dalam menjaga adab berpakaian. Biar dalam kita berusaha mendapatkan sihat itu kita turut sama mendapatkan berkat dan redha Allah. Jangan pula kerana inginkan sihat, laknat pula yang kita dapat!
WALLAHU'ALAM
*Sumber dari pelitabrunei.gov.bn
Comments