Sabda Nabi SAW
Ketika al-Mahdi dan umat Islam yang turut berada di Baitulmaqdis mahu mengerjakan sembahyang subuh, tiba-tiba Isa bin Maryam turun. Maka al-Mahdi mundur ke belakang agar Nabi Isa ke hadapan untuk menjadi imam (sembahyang subuh mereka). Lantas Nabi Isa meletakkan kedua-dua belah tangannya ke atas kedua-dua belah bahu al-Mahdi sambil berkata, “Silakan maju ke hadapn dan jadi imamlah. Sesungguhnya (sembahyang subuh) ini diiqamatkan untukmu.” Maka al-Mahdi menjadi imam bagi para mukmin dan Nabi Isa AS.”(Ibnu Majah & Abu Nuaim)
Sabda Nabi SAW,
Al-Mahdi memalingkan kepalanya ke kanan dan ke kiri (memerhatikan makmum pada saf pertama), maka ketika itulah Nabi Isa turun dari langit, laksana menitisnya air daripada rambut al-Mahdi. Lantas al-Mahdi berkata, “Sila ke depan dan jadilah imam (kami).” Nabi Isa menjawab, “Sesungguhnya sembahyang ini diiqamatkan untukmu.” Kemudian Nabi Isa sembahyang di belakang seorang lelaki daripada keturunanku. (At-Tabrani & Abu Nuaim)
Setelah cukup empat puluh hari Dajjal memerintah dunia dengan keadaan yang amat menderitakan seluruh kemanusiaan, manusia yang mengikutinya mulai amat sedar betapa silapnya mereka kerana terlalu mengikut cakap-cakap Dajjal itu. Betapa jauhnya perbezaan antara pemerintahan Islam sebelumnya dengan pemerintahan Dajjal yang sedang memerintah pada hari ini. Pemerintahan Islam cukup ideal dan baik, membawa rahmat yang tidak terhingga kepada seluruh manusia, malah yang kafir pun turut mendapat limpahan nikmat yang Allah turunkan. Pemerintahan Dajjal ini bukannya membawa kebaikan, malah orang yang menuhankannya pun turut mendapat susah dan takut. Begitu jauhnya perbezaan antara kedua-dua bentuk pemerintahan ini.
Namun untuk berpatah balik amatlah sukar pula, malah boleh dikatakan bahawa pintu taubat sudahpun Allah tutup untuk setiap yang mengikut Dajjal itu. Maka mereka menjadi golongan yang amat menyesal. Dalam keadaan yang penuh menyesal itulah Allah turunkan Nabi Isa AS kepada umat Islam, membawa khabar berita yang amat menggembirakan seluruh umat Islam yang sedang sangat menderita itu. Turunnya Nabi Isa AS bukanlah sebagai seorang rasul yang akan mengembangkan ajaran baru. Tugas itu sudahpun ditutup dengan wafatnya Rasulullah SAW lebih seribu empat ratus tahun dahulu.
Tugas pertama Nabi Isa AS adalah sebagai pembunuh Dajjal. Untuk tujuan itu, Nabi Isa AS diturunkan oleh Allah pada waktu subuh, ketika umat Islam sedang berdiri untuk mengerjakan sembahyang subuh. Turunnya Nabi Isa AS ini memang mengejutkan seluruh umat Islam. Selepas sembahyang subuh itulah Nabi Isa AS bersiap-siap untuk membunuh Dajjal seperti yang Allah SWT perintahkan kepadanya sebelum turun ke bumi ini. Dari mana turunnya Nabi Isa AS itu tidak perlulah dikaji-kaji dan dicungkil-cungkil. Yang penting sekali, Nabi Isa AS sudahpun turun semula ke dunia, dalam keadaan seolah-olah orang yang baru berusia 33 tahun, sama seperti keadaannya sewaktu diselamatkan oleh Allah daripada ditangkap oleh Yahuza Iskarius, anak muridnya yang membelot dahulu.
- Artikel ini adalah sebahagian daripada buku Imam Mahdi: Rahasia Kegemilangan Umat Islam pada Zaman Modern karangan Ustadz Hawari bin Abdul Malik
*Sumber dari kawansejati.org
Comments