7 GAYA HIDUP SIHAT NABI S.A.W.


1. BANGUN SEBELUM SUBUH
Rasulullah mengajak umatnya untuk bangun sebelum Subuh bagi melaksanakan solat sunat, solat fardu dan solat Subuh secara berjemaah. Hal ini memberi hikmah yang mendalam antaranya mendapat limpahan pahala, kesegaran udara pada waktu subuh yang baik terutama untuk merawat penyakit tibi serta memperkuatkan akal fikiran.

2. MEMENTINGKAN KEBERSIHAN
Rasulullah sentiasa bersih dan rapi. Setiap Khamis atau Jumaat, Baginda mencuci rambut halus di pipi, memotong kuku, bersikat serta memakai minyak wangi. Sabda Baginda yang bermaksud:

“Mandi pada hari Jumaat adalah sangat dituntut bagi setiap orang dewasa, demikian pula menggosok gigi dan memakai harum-haruman.”(Hadis riwayat Muslim)

3. MAKAN BILA LAPAR, BERHENTI SEBELUM KENYANG
Sabda Rasulullah saw yang bermaksud: “Kami adalah satu kaum yang tidak makan sebelum lapar dan apabila kami makan tidak terlalu banyak (tidak sampai kekenyangan).” (Muttafaq Alaih)

Dalam tubuh manusia ada tiga ruang untuk tiga benda: Sepertiga untuk udara, sepertiga untuk air dan sepertiga lainnya untuk makanan.
Salah satu sumber penyakit adalah datangnya dari perut (makanan). Amalan pemakanan yang tidak betul dan berlebihan boleh meningkatkan kadar kolesterol dan boleh memudharatkan tubuh kita. Galakan berpuasa merupakan suatu bentuk terapi yang boleh mengistirehatkan perut disamping menyihatkan tubuh badan kita.

4. SUKAKANAKTIVITI FIZIKAL & SENAMAN
Rasulullah saw berjalan kaki ke masjid, pasar dan mengunjungi rumah-rumah sahabat. Apabila berjalan kaki, peluh pasti mengalir, roma terbuka dan peredaran darah berjalan dengan lancar.

Ini penting untuk mencegah penyakit jantung. Berbanding kita sekarang yang lebih selesa menaiki kenderaan. Kalau mahu meletakkan kenderaan, mesti letak betul-betul di hadapan tempat yang hendak kita pergi.

5. BERFIKIRAN POSITIF & JAGA HATI
berfikiran positif dan menjauhi penyakit hati
Bagi menjaga kestabilan hati dan kesihatan jiwa, semestinya kita perlu menjauhi daripada sifat iri hati. Banyakkanlah berdoa: “Ya Allah, bersihkanlah hatiku dari sifat-sifat mazmumah dan hiasilah diriku dengan sifat-sifat mahmudah.”

6. ELAK MARAH
Nasihat Rasulullah ‘JANGAN MARAH’ diulangi sampai tiga kali. Ini menunjukkan hakikat kesihatan dan kekuatan Muslim bukanlah terletak pada jasad sahaja tetapi merangkumi juga kebersihan jiwa.

Ada terapi yang tepat untuk menahan perasaan marah iaitu dengan mengubah posisi ketika marah, bila berdiri maka hendaklah kita duduk dan apabila sedang duduk, maka perlu berbaring.

Kemudian membaca Ta’awwudz kerana marah itu daripada syaitan, segera mengambil wuduk dan solat dua rakaat bagi mendapat ketenangan serta menghilangkan gundah di hati.

7. SENTIASA MEMAAFKAN
Pemaaf adalah sifat yang sangat dituntut bagi mendapatkan ketenteraman hati dan jiwa. Memaafkan orang lain membebaskan diri kita daripada dibelenggu rasa kemarahan.

Sekiranya kita marah, maka marah itu melekat pada hati. Justeru, jadilah seorang yang pemaaf kerana yang pasti badan sihat.
Bahagia sebenarnya bukan mendapat tetapi dengan memberi. Sebenarnya, banyak lagi cara hidup sihat Rasulullah saw, Insya-Allah akan dikupas pada masa-masa yang mendatang. #JourneyIlahi

sumber https://peribadirasulullah.wordpress.com/

Comments