Sunnah-sunnah Rasulullah SAW Dalam Perkahwinan


Allahumma solli 'ala Saiyidina Muhammad wa 'ala ali Muhammad. Salam Maulidurrasul saya ucapkan buat warga pelayar dan pembaca slot Bersama Suzana menerusi blog kegemaran ramai ini. Sempena Maulidurrasul yang diraikan hari ini bagi mengenang dan mengambil iktibar sejarah hidup Rasulullah SAW, saya nak perkenalkan antara sunnah-sunnah Rasulullah SAW dalam perkahwinan. Ya! Banyak sunnah Rasulullah SAW dalam perkahwinan, bukan hanya poligami. Andai sunnah-sunnah ini dilaksanakan, bahagia dalam perkahwinan bukan satu impian atau igauan lagi, insyaAllah. Sebabnya, Rasulullah SAW adalah idola dan contoh suami terbaik dalam perkahwinan. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang paling baik antara kamu semua adalah orang yang paling baik terhadap isterinya dan aku adalah orang yang terbaik antara kamu semua (dalam membuat kebaikan) terhadap isteriku." - hadis riwayat al-Tirmizi.
Antara sunnah yang dilaksanakan oleh Rasulullah SAW di dalam perkahwinan baginda bersama isteri-isteri baginda khususnya bersama Aishah r.anha mengikut riwayat daripada Ummul Mukminin r.anha itu sendiri ialah Rasulullah SAW adalah seorang yang romantik , suka bergurau, meluangkan masa bersama isteri, mengkhabarkan kepergian baginda kepada isteri dan membantu kerja-kerja di rumah.
Romantik adalah sunnah Rasulullah SAW, bukan ikutan amalan orang barat atau hero hindi. Rasulullah SAW seorang suami yang romantik. Aisyah r.anha menceritakan: “Suatu ketika aku telah minum. Ketika itu aku sedang haidh lantas aku memberikan gelasku kepada Rasulullah dan baginda meminumnya dari kesan mulutku di gelas itu. Dalam kesempatan lain aku memakan sepotong daging, lantas aku memberikan baginda potongan daging itu dan baginda memakannya tepat di tempat aku memakannya." - hadis riwayat Muslim.
Rasulullah SAW juga sering bergurau bersama isteri baginda. Gurauan dimaklumi sebagai satu cara untuk mengeratkan hubungan. Aisyah r.anha telah berkata yang bermaksud: “Rasulullah berlumba lari denganku, maka aku menang ketika itu kerana aku belum gemuk. Kemudian, setelah gemuk aku berlumba lari dengannya, maka baginda memenanginya. Lalu baginda bersabda: Kemenangan ini sebagai penebus kekalahan yang lalu." - hadis riwayat Abu Daud. Andai Rasulullah SAW boleh bergurau bersama isteri baginda, kenapa tidak anda suami akhir zaman ini?
Rasulullah SAW adalah seorang pemerintah Negara, pemimpin angkatan tentera, penyampai wahyu malah kekasih Allah tetapi masih mampu meluangkan masa emasnya bersama isteri baginda. Diriwayatkan daripada Aishah r.anha bahawa Rasulullah SAW pernah membawanya menyaksikan permainan para sahabat yang berasal dari Sudan. Katanya: “Hari itu adalah hari raya di mana orang-orang Sudan bermain pedang dan perisai. Aku (Aishah r.anha) tidak ingat apakah aku yang meminta untuk melihatnya atau Rasulullah SAW yang berkata: Apakah kamu ingin melihatnya? Aku pun menjawab: Ya. Aku disuruhnya berdiri di belakangnya di mana pipiku bersentuhan dengan pipi baginda. Baginda berkata: Biar yang lain wahai Bani Arfidah! Ketika aku merasa bosan, baginda bertanya kepadaku: Adakah engkau sudah puas? Aku menjawab: Ya. Baginda pun bersabda: Pergilah." - hadis riwayat al-Bukhari.
Semua tahu, seorang isteri wajib mendapat izin suami jika mahu keluar ke mana-mana malah tika ingin melakukan sesuatu. Tidak ada perintah serupa pula untuk para suami. Namun, Rasulullah SAW mempraktikkan amalan memberitahu dan mengkhabarkan kepergian baginda kepada isteri baginda. Mengikut satu riwayat, Sayidatina Aishah r.anha pernah bertindak mengekori Rasulullah SAW pada waktu tengah malam ketika sedar Rasulullah SAW keluar tanpa memaklumkan kepadanya yang sedang tidur. Diekorinya Rasulullah SAW hingga jelas di matanya, Rasulullah SAW mengunjungi makam Baqi' dan berhenti seketika serta membacakan tiga doa. Usai berdoa, Rasulullah SAW kembali ke rumah. Tindakan Sayidatina Aishah diketahui oleh Rasulullah SAW lalu baginda Rasul menjelaskan: “Jibril datang kepadaku dan menyampaikan agar aku segera ke Baqi'. Aku sangkakan kau tidur lena maka aku keluar tanpa memaklumkannya kepadamu."
Rasulullah SAW juga membantu isteri baginda dalam melakukan kerja di rumah. Diriwayatkan daripada Al-Aswat bin Yazid katanya yang maksudnya, “Aku bertanya kepada Aisyah: “Apa yang Nabi SAW kerjakan di rumah? Aisyah menjawab: “Baginda sentiasa melayani isterinya yakni membantu isterinya membuat kerja-kerja rumah. Maka apabila masuk waktu sembahyang Bagindapun keluar untuk sembahyang (ke masjid)." - hadis riwayat Al-Bukhari
Diceritakan daripada hadis Aisyah R.Anha bahawa Rasulullah SAW bersabda kepadanya yang bermaksud: “Aku tahu masa anda redha dan marah kepadaku." “Bagaimana anda mengetahuinya wahai Rasulullah?" Baginda menjawab: “Jika anda senang denganku, anda akan berkata; tidak demi Rabb Muhammad. Sementara jika anda marah terhadapku, anda akan mengatakan; tidak demi Rabb Ibrahim. Aisyah R.Anha berkata; “Tepat wahai Rasulullah. Demi Allah, namun aku tidak mendiamkanku (ketika aku marah) kecuali tidak menyebut namamu." – hadis riwayat Bukhari dan Muslim.
Hadis ini membuktikan, tidak ada salah dan dosa jika isteri marah terhadap suaminya disebabkan faktor perselisihan yg biasa terjadi dalam kehidupan seharian dan kehidupan rumahtangga. Sudah namanya manusia, pasti terdapat kekurangan di mana-mana termasuk rasa tidak puas hati atau berkecil hati dengan tindakan suami hatta Rasulullah SAW sendiri. Biar pun begitu, teladanilah kesopanan Aisyah R.Anha dan kecerdikan Rasulullah SAW. Hadis ini menunjukkan perselisihan dalam rumahtangga adalah perkara biasa tetapi memerlukan batasan. Aisyah masih kekal bersopan terhadap suaminya walau dalam keadaan marah dan Rasulullah SAW menundukkan perasan marah tersebut dengan kelembutan dan kasih sayang.
Aisyah masih kekal melayan suaminya dengan baik, malah bercakap dengan suaminya hanya tidak menyebut nama suami sebagai tanda protes dan tanda emosinya terganggu. Tika ini, Rasulullah SAW pula sebagai suami berusaha untuk memahami dan dalam masa yang sama, berusaha memujuk. Sesuai dengan fitrah kejadian wanita bak tulang yang bengkok, dibiar akan kekal bengkok, dipaksa lurus akan segera patah. Jalan terbaik, memujuk dengan sabar dan berhikmah.
Lantas, mengambil teladan kisah rumahtangga Rasulullah SAW ini, sewajarnya pasangan suami isteri mengelakkan diri daripada tidak bercakap apatah lagi menyisihkan diri. Tindakan tidak bercakap terutama tindakan menyisihkan diri daripada pasangan menjadi penyumbang kepada bertambahnya kekalutan dalam rumahtangga. Seperti kata orang lama kita, kalau disimbah minyak ke api, pastinya api tambah marak. Jalan terbaik untuk memadam api ialah dengan menyiram air. Samalah juga dengan pergaduhan, jika masing-masing berkeras hati, enggan mengakui kesilapan diri dan berterusan tidak bercakap sesama sendiri, masalah tidak akan selesai dan memungkinkan wujudnya masalah baru pula.
Dalam mengharungi hari-hari mendatang dalam perkahwinan, jangan harapkan detik manis dan kebahagiaan semata. Hakikatnya, ujian dan cabaran yang hadir bukan untuk memusnahkan bahagia sebaliknya untuk mendidik diri agar menjadi manusia yang lebih matang dan bijak menangani permasalahan. Kajian membuktikan, kesilapan paling utama yang wujud dalam rumahtangga ialah kegagalan pasangan suami isteri untuk bergaduh secara selamat. Ya! Seperti yang dijelaskan di awal tadi, bergaduh itu biasa tetapi perlu pastikan pergaduhan anda dan pasangan adalah pergaduhan yang selamat.
Pergaduhan yang selamat akan wujud jika anda sedar dengan siapa anda sedang bergaduh, pastinya teman hidup anda, sama ada suami atau isteri yang anda sayangi. Jika anda sayangkan si dia yang sedang bergaduh dengan anda, pastinya anda akan dapat mengawal emosi marah anda agar tidak keterlaluan hingga membawa kemudharatan kepadanya. Tika bergaduh, tanamkan dalam diri, anda sedang bertengkar kerana satu sebab yang berlaku, mungkin salah pasangan, mungkin juga salah anda sendiri. Pokoknya, bukan mencari salah siapa tetapi pastikan masing-masing berusaha untuk menangani permasalahan yang berlaku.
Masalah takkan selesai dengan mencari siapa yang salah. Masalah hanya selesai jika masing-masing mengawal diri, berterus terang dan berbincang. Namun, masalah yang timbul dalam usaha menyelesaikan masalah yang telah ada ialah masalah komunikasi sesama setiap insan iaitu masalah untuk memahami dan difahami. Sukarnya memahami sama saja dengan sukarnya untuk difahami. Jalan terbaik ialah dengan memberikan peluang kepada diri sendiri untuk memahami dan difahami. Jika anda sukar memahami; bertanya dan berbincanglah. Jika anda sukar difahami; jelaskan dan berterus teranglah.
Jangan mendiamkan diri! Betul! Ada masanya diam itu perlu ketika anda pasti pasangan anda tidak dapat mendiamkan dirinya sendiri dan terus berhujah hingga gagal mengawal diri. Tika ini, memang wajar anda berdiam seketika. Tunggu hingga keadaan menjadi sejuk, carilah ruang dan peluang untuk meluah isi hati anda pula. Jika yakin meluah rasa dengan lisan menambah buruk keadaan, sebagai contoh anda sukar meluah dengan terkawal kerana pasti disusuli kata-kata yang keras atau tangisan yang tidak digemari pasangan maka luahkanlah segalanya di lembaian kertas. Hingga detik kedamaian dikecapi semula, usahakan untuk menepis ego dengan teruskan bercakap seperti biasa. Walau hati rasa sakit tapi yakinlah, jika anda kekal berbuat baik, kesudahannya pasti akan baik juga...
Saya mencadangkan kepada para suami di luar sana, agar berusaha melaksanakan antara sunnah-sunnah Rasulullah SAW dalam perklahwinan ini terlebih dahulu sebelum berhasrat untuk melaksanakan sunnah poligami. Selamat berjaya!
SUZANA GHAZALI merupakan Perunding Psikologi Keluarga dan Peguam Syarie. Beliau mempunyai pengalaman yang luas dan sentiasa dijemput oleh media-media penyiaran tempatan seperti TV3, Astro, RTM untuk menjadi panel mengupas isu rumah tangga,perkahwinan dan kekeluargaan.Untuk menghubungi beliau, anda boleh emailkan ke binabahagia@gmail.com ataupun layari Bersama Suzana

sumber http://www.ikahwin.my/

Comments