Sungai zaman Nabi Daud

Ada kisah menarik di masa Nabi Daud 'alaihissalam. Bani Israil ingin berjuang melawan kezaliman raja Jalut. Segala persiapan telah dilakukan termasuk ujian pada hati dan jiwa. Sebelum pergi berperang, ketua mereka yang bernama Thalut menunjuk sesuatu sebagai ujian utama. Sesuatu itu bernama sungai.

"Sesungguhnya Allah akan mengujimu dengan sungai. Siapa yang meminum airnya, dia bukan pengikutku. Siapa yang tidak meminumnya kecuali menceduk seceduk tangan, maka dia pengikutku, "ucap Thalut ke seluruh pasukan. Selepas itu, pasukan itu pun bergerak.

Lama mereka berjalan. Panas terik keadaan padang pasir Palestin melemahkan tenaga mereka. Haus tidak lagi tertahan. Tiba-tiba, sungai yang begitu jernih terbentang di hadapan mereka. Seolah memberikan sokongan atas perjuangan yang begitu memenatkan.

Ternyata tentera-tenteranya teruji dengan kesabaran, kepatuhan kepada ketua dan kesanggupan menghadapi kesusahan dalam memikul tugas. Ujian demi ujian mereka tempuhi, akhirnya hanya sedikit dari kalangan mereka yang berjaya. Kebanyakan daripada mereka telah meminum air sungai dengan sepuas-puasnya dan menyerah kalah untuk tidak terus berjuang.

Ujian-ujian ini telah dapat menapis keimanan angkatan tentera Thalut;

“Dan apabila Thalut dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya menyeberangi sungai itu, mereka pun berkata: Kami tidak mempunyai tenaga kekuatan lagi pada hari ini untuk melawan Jalut dan tentera-tenteranya.” QS al-Baqarah:249

Kini Thalut bersama dengan tenteranya yang beriman, namun sebahagian daripada mereka mula berasa gentar apabila melihat tentera Jalut yang ramai bilangannya. Keimanan mereka masih belum sempurna kerana mereka lupa dengan kekuasaan Allah swt yang Maha Berkuasa lagi Maha Bijaksana.

Manakala kumpulan kecil Mukmin yang sejati berkata;

“Lalu berkatalah orang-orang yang yakin bahawa mereka akan tetap menemui Allah: Berapa banyak peristiwa kumpulan yang sedikit telah mengalahkan kumpulan yang banyak dengan keizinan Allah, dan Allah itu bersama-sama orang-orang yang sabar.” QS al-Baqarah:249

Kemenangan pasti akan dicapai oleh mereka yang berhubung rapat dengan sumber kekuatan yang tiada tolok bandingnya lagi iaitu kekuatan dari Allah swt yang menguasai segala urusan. Kemenangan diserahkan kepada Allah swt; “Dengan keizinan Allah, dan Allah itu bersama-sama orang-orang yang sabar.”

Mereka juga memperbaharui janji mereka dengan Allah swt dan bertawajjuh kepada-Nya dengan hati mereka. Mereka juga memohon pertolongan dan kemenangan dalam menghadapi peperangan ini.

“Dan apabila (mereka yang beriman) keluar menentang Jalut dan tenteranya mereka berdoa: Wahai Tuhan kami! Curahkanlah kesabaran ke atas kami dan kukuhkanlah pendirian kami dan tolonglah kami mengalahkan kaum yang kafir.” QS al-Baqarah:250

Kemenangan adalah milik Allah swt. Anugerah ini adalah untuk Mukmin kesayangan-Nya yang melaksanakan kehendak-Nya dengan tiada kepentingan diri sendiri. Niat yang baik dan keazaman yang kukuh untuk terus taat dan bertawajjuh kepada Yang Esa dengan penuh keikhlasan.

Nabi Daud a.s ketika itu adalah seorang anak muda Bani Israil yang masih belia, sedangkan Jalut adalah seorang raja yang gagah perkasa dan seorang panglima perang yang sangat ditakuti. Namun urusan hidup tidak berlangsung mengikut keadaan-keadaannya yang lahiriyah tetapi ia berlangsung mengikut hakikat-hakikatnya yang berada di tangan Allah swt.

Kematian Jalut kelihatan sangat mudah ditangan Nabi Daud a.s. Malah baginda telah menerima teraju pemerintahan daripada Thalut. Kemudian mewariskannya kepada putera beliau iaitu Nabi Sulaiman a.s. Zaman Nabi Daud a.s adalah zaman keemasan bagi Bani Israil.

Di dalam masa yang sama, Nabi Daud a.s diangkat sebagai seorang nabi. Allah swt telah mengajarkan beliau ilmu pertukangan membuat baju besi dan alat-alat perang.

Tujuan sebenar pertarungan ini ialah untuk mewujudkan kebaikan di bumi dan menguatkannya melawan kejahatan dan pencerobohan.

“Dan andainya Allah tidak menolak pencerobohan setengah yang lain tentulah bumi menjadi rosak, tetapi Allah mempunyai limpah kurnia ke atas semesta alam.” QS al-Baqarah:251

Allah swt mengakhiri kisah ini dengan firman-Nya;

“Itulah ayat-ayat Allah yang Kami bacakannya kepadamu dengan membawa kebenaran dan sesungguhnya engkau adalah dari nabi-nabi yang diutuskan(Allah).” QS al-Baqarah:252

***

Pengajaran yang boleh diambil:


1.    Bani Israil biasanya mempunyai sifat yang suka memungkiri janji, mengelak dari ketaatan, enggan melaksanakan tugas, berpecah-belah dan berpaling dari kebenaran yang jelas. Sifat-sifat ini hendaklah dijauhi oleh orang-orang Islam. Untuk mengubahnya memerlukan tarbiyah yang berkesan dan memakan masa yang agak lama.

2.    Orang yang berpaling dari perjuangan dan enggan memikul tugas kebenaran untuk menentang kebathilan adalah termasuk di dalam golongan yang zalim.

3.    Di dalam ketenteraan, orang yang tidak tahan diuji dan cepat mengalah dengan kesusahan adalah orang-orang yang patut dikeluarkan dari barisan perjuangan kerana mereka merupakan benih-benih kelemahan dan kekalahan.

4.    Berniat berjuang Fi Sabilillah sahaja tidak mencukupi. Ia akan teruji secara amali/praktikal.

5.    Kemenangan yang hakiki adalah melalui kekuatan aqidah dan iradat Ilahi. Bukannya tertakluk kepada kekuatan kebendaan dan majoriti.

6.    Hubungan jiwa dengan Allah swt perlulah tinggi dan ikhlas. Ini dapat direalisasikan melalui doa-doa yang mathur.

7.    Kepimpinan hanya akan diberi kepada seorang Mukmin yang sejati, taat dan patuh terhadap kehendak Sang Pencipta yang memiliki segala urusan di langit dan di bumi.

Diterjemahkan dan disusun dari sumber bersamaummualiya.blogspot.com,  islampos.com. Wallahu'alam bissawab والله أعلمُ بالـصـواب

Comments